Sabtu, 7 Januari 2017 | 6:41am

Inovasi pertanian tingkat ekonomi rakyat, negara


- Gambar hiasan/Foto ihsan pertanianselangor.wordpress.com

Perkembangan pesat sektor pertanian di Malaysia boleh dikaitkan dengan keadaan alam semula jadi yang mempunyai tanah kaya dengan mineral, corak taburan hujan yang baik dan bekalan air mencukupi untuk pertumbuhan tanaman. Kini, produk pertanian Malaysia tidak terhad kepada hasil ladang seperti sawit, getah dan koko yang menjadi komoditi besar negara.

Malaysia juga memiliki ladang nanas, pisang, kelapa, durian dan rambutan di seluruh negara untuk pasaran tempatan dan luar negara. Ada juga penanaman pokok buah-buahan tropika dan sayur-sayuran di kawasan tanah rendah dan tanah tinggi. Permintaan produk pertanian negara kian meningkat dengan peningkatan populasi rakyat tempatan dan perkembangan pasaran global.

Dalam hal ini, usaha dalam bidang kajian perlu ditingkatkan bagi memajukan teknologi pertanian negara yang mapan demi memacu inovasi baharu, seterusnya mampu meningkatkan penghasilan dan kualiti produk asas tani bagi memenuhi keperluan rakyat dan permintaan pasaran dunia.

Kerajaan sedar dan percaya bidang bioteknologi mampu menjadi pemacu ekonomi negara meskipun dalam era globalisasi. Melalui Kementerian Sains, Teknologi and Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), kerajaan menaja usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutama kepada institusi penyelidikan dan universiti, serta membantu petani dan agensi perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan sesuai dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti produk pertanian sedia ada. Hasilnya, banyak inovasi baharu tercetus dari generasi muda berpendidikan tinggi seperti penemuan teknik moden pertanian oleh Universiti Malaysia Sabah yang mampu memperbaiki keselamatan makan dan meningkatkan produktiviti hasil tani bagi penanaman nanas dan cendawan.

Tidak ketinggalan, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) juga melancarkan dua produk baharu inovatif, YangambiGT1 dan PalmaShield yang boleh halang serangan ganoderma, antara ancaman utama industri kelapa sawit. Pada masa sama, MOA bekerjasama erat dengan syarikat swasta Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) meningkatkan ketersediaan benih tanaman berkualiti tinggi, sesuai dengan keadaan tanah dan cuaca di Malaysia.

Wujud juga peluang baik untuk pihak yang ingin memulakan perniagaan dengan adanya skim pinjaman tanpa faedah seperti disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi graduan universiti awam dan swasta yang berminat dalam agromakanan dan pertanian.

Ekonomi berasas pertanian

Pertumbuhan ekonomi Malaysia bermula dengan kegiatan ekonomi berasaskan pertanian (1950-an hingga 1970-an). Sektor ekonomi ini sudah berakar umbi sejak sebelum kepemimpinan Perdana Menteri pertama. Pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi menggalakkan keserasian pembangunan antara Islam, ekonomi dan teknologi. Beliau memperkenal dan meluaskan konsep maqasid al-shariah dalam sistem urus tadbir negara.

Pendekatan ini pada dasarnya ada lima unsur asas dan yang kelimanya pemeliharaan harta (hifdz al-mal) jadi panduan dalam pembangunan ekonomi negara selaras dengan nilai asas Islam. Ketika krisis ekonomi dunia 2007-2008, Tun Abdullah membatalkan banyak projek mega cetusan Perdana Menteri terdahulu dan memulakan dasar ekonomi baharu mendorong kebangkitan semula sektor pertanian di Malaysia.

Kesannya dapat dilihat apabila peralihan daripada industri berat kepada industri berasaskan pertanian menjimatkan perbelanjaan negara dan pada masa sama memberi pulangan baik kepada golongan berpendapatan rendah. Tun Abdullah sedar negara ini sentiasa relevan dengan amalan pertanian bagi pertumbuhan ekonomi, malah sektor ini dapat menjana keuntungan kepada ramai rakyat di luar bandar.

Langkah ini selaras dengan galakan Islam untuk mengecapi hasil bumi seperti disebut dalam al-Quran: "Dialah yang menjadikan bumi itu mudah untuk hidup padanya, maka pergilah ke semua kawasan termasuk cerunnya, dan ambillah bahagian dari rezeki yang diberikan-Nya, akan tetapi sentiasa ingatlah bahawa kepada-Nya kamu akan dibangkitkan" (al-Mulk 67:15).

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Pameran Antarabangsa Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) sebagai acara tahunan mempromosikan produk pertanian tempatan, memberi pendedahan kepada orang awam dengan peluang pertanian dan meningkatkan aktiviti pelancongan. Pengunjung disajikan dengan aktiviti pelbagai tema termasuk keselamatan produk makanan, aktiviti rekreasi, pengayaan ilmu melalui pameran, promosi agropelancongan, dan program kesihatan.

Festival ini berlangsung lebih 10 hari (1-11 Disember 2016) dan dikunjungi lebih 3.7 juta warga tempatan dan luar negara serta meraih jualan sehingga RM350 juta. Ia juga buka peluang kepada pengunjung dengan pelbagai input berguna dan dapat meluaskan lagi pasaran produk tempatan ke luar negara.

Acara ini mengangkat sektor pertanian negara dengan membantu usaha petani luar bandar serta peladang dari industri berskala besar. Dicadangkan agar industri pertanian diberi perhatian lebih lagi dalam perancangan ekonomi mendatang. Peruntukan kewangan lebih besar jadi satu keperluan untuk membangunkan perusahaan berasaskan pertanian.

Industri pertanian ini mampu beri pulangan baik kerana produk asas tani sentiasa ada permintaan, lebih-lebih lagi ia keperluan asas manusia. Penulis berharap perkembangan ekonomi Malaysia ke arah status negara maju turut disokong pemerkasaan ekonomi berasaskan pertanian.

Penulis adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Berita Harian X