Sabtu, 7 Januari 2017 | 5:17pm
SUKARELAWAN MyCorps mengagihkan roti kepada pelarian Syria di tujuh kem pelarian sekitar Lembah Beeka dekat sempadan Lubnan-Syria, semalam. - Foto Ihsan MyCorps Middle East

MyCorps agih roti kepada pelarian Syria


SUKARELAWAN MyCorps mengagihkan roti kepada pelarian Syria di tujuh kem pelarian sekitar Lembah Beeka dekat sempadan Lubnan-Syria, semalam. - Foto Ihsan MyCorps Middle East

KUALA LUMPUR: Seramai 11 sukarelawan MyCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan, terbabit dalam pengagihan roti kepada pelarian Syria di Lembah Beeka, Lubnan hari ini.

Pengagihan dilakukan menerusi Projek Roti MyCorps membabitkan dana USD1,000 (RM4,470) kepada Kilang Roti di Kem Al Awdah yang sebelum ini terpaksa ditutup akibat kekangan kewangan.

Jurucakap kumpulan itu, Tuan Mohamad Hakimi Tuan Ibrahim, berkata 935 keluarga pelarian di Lembah Beeka, berdekatan sempadan Lubnan-Syria, mendapat manfaat hasil projek itu.

Sebelum ini, katanya, sukarelawan MyCorps turut menjalankan projek kebersihan oral untuk kanak-kanak, projek pendidikan awal kanak-kanak dan kelas bahasa di sekitar kem pelarian.

"Sukarelawan MyCorps turut terbabit secara langsung dalam proses pembuatan, pembungkusan dan pengagihan roti kepada keluarga pelarian dari Syria," katanya dalam emel kepada BH, hari ini.

Ketika ini, seramai 44 sukarelawan MyCorps digerakkan ke Lubnan, Jordan dan Turki dalam misi kemanusiaan selama dua bulan bagi membantu meringankan beban pelarian Syria.

Konflik di Syria yang berlanjutan sejak Mac 2011 menyebabkan lebih 11 juta rakyatnya menjadi pelarian, termasuk 4.8 juta mencari perlindungan di negara jiran seperti Lubnan, Jordan dan Turki.

Berita Harian X