Ahad, 8 Januari 2017 | 12:08am

Hubungan bapa - anak pencetus kejayaan

AMPANG: Selepas kali terakhir Malaysia menjulang trofi Piala Thomas pada tahun 1992, resipi kejayaan yang dicipta 25 tahun lalu itu masih disimpan rapi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika itu, Tan Sri Elyas Omar.

Ketika itu, skuad negara bermula cemerlang muncul naib juara Kumpulan B di belakang Denmark seterusnya menempah tiket separuh akhir menentang China yang menjuarai Kumpulan A.

Selepas menumbangkan negara Tembok Besar dengan keputusan 3-2, Malaysia berdepan saingan sengit Indonesia pada aksi final. Ketika itu, Indonesia cukup bersemangat selepas memalukan Korea, 5-0 di pentas separuh akhir.

Detik gemilang Malaysia direkodkan pada Mei 1992 apabila skuad negara menang 3-2 sekali gus mencetuskan fenomena baharu di seluruh negara. Di segenap jeruk, gelanggang badminton sentiasa penuh dengan pemain - hasil kejayaan Piala Thomas.

Bermula dalam pencarian 12 pemain untuk dikumpulkan dalam Projek 88/90, banyak memori lama yang disimpan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur itu terutama sekali membabitkan hubungan erat antaranya dengan pemain.

"Hubungan saya dan pemain diibaratkan hubungan bapa dan anak. Saya mendekati mereka untuk mendengar pemikiran dan idea mereka kerana kebanyakan atlet kita terlalu pendiam.

"Dulu, tiga atau empat kali seminggu, saya mesti bertemu atlet untuk minum sama atau sekadar melihat mereka menjalani latihan bagi mencungkil masalah yang mungkin dihadapi," katanya yang ditemui di kediamannya.

Berkongsi mengenai pemain badminton ketika itu, Elyas mendedahkan pemain perseorangan, Rashid Sidek adalah antara yang paling pendiam, berbeza dengan abangnya, (Datuk) Jalani yang lebih banyak bercakap.


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika itu, Tan Sri Elyas Omar. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan foto kejayaan skuad Piala Thomas kepada Tan Sri Elyas Omar pada Jun 1992.

"Bagi saya, pemimpin dan pengurus yang tidak tahu masalah dihadapi pemain, itu yang boleh mempengaruhi prestasi mereka. Tetapi bukan senang mahu membina hubungan yang rapat kerana memakan masa beberapa tahun juga," katanya.

Berumur 80 tahun, Elyas menjelaskan antara masalah utama yang dihadapi atlet negara ketika itu adalah masalah kewangan dan peribadi.

Ada juga kes pemain yang bermasam muka sesama sendiri namun dia perlu mengambil pendekatan anak dan bapa dengan menasihati mereka.

"Saya selalu cakap biarpun mereka bermasam muka, apabila turun ke gelanggang mereka perlu bertindak macam dua beradik yang akrab dan memikirkan saya sebagai bapa mereka.

"Bagi saya hubungan kuat antara kami itu adalah antara faktor kemenangan negara pada waktu itu," katanya yang begitu bersemangat berkongsi detik kejayaan skuad negara merangkul Piala Thomas di bumi sendiri.


SKUAD juara Piala Thomas 1992.

Elyas masuk surau, tak mahu tengok

Jika menyaksikan video perlawanan akhir Piala Thomas 1992 yang berlangsung di Stadium Negara, pastinya ramai tertanya-tanya di mana kelibat Tan Sri Elyas Omar ketika perlawanan penting itu.

"Sebenarnya ketika itu saya berada di surau (stadium) kerana saya memang tak boleh saksikan pemain saya beraksi.

"Saya hanya mampu solat dan berdoa sambil mengetahui perlawanan menerusi jeritan penonton di stadium," katanya yang mempunyai sejarah 'hitam' apabila menyaksikan perlawanan pemainnya.

Elyas berkata, perkara yang tidak dapat dilupakannya adalah gema sorakan 15,000 penonton di stadium ketika mata kemenangan beregu kedua, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang menundukkan Rexy Manaiky-Ricky Subagja untuk membolehkan negara menjulang trofi itu.


TAN Sri Elyas Omar memeluk pemain perseorangan negara, Rashid Sidek.

Menceritakan kisah sejarah 'hitam' sebelum ini, Eylas yang juga bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, dia masih teringat lagi dia cuba untuk menyaksikan perlawanan Soon Kit-Beng Kiang ketika saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.

Ketika itu, beregu negara menang di set pertama dan sudah memperoleh 14 mata di set kedua sekali gus membuatkan Eylas cukup yakin mereka akan menang perlawanan itu.

"Saya sangkakan, tiada apa akan berlaku kalau masuk saksikan perlawanan kerana tinggal satu mata saja lagi untuk menang.

"Sebaliknya berlaku apabila Malaysia yang pada mulanya mendahului 14-7 namun akhirnya diseret ke mata tambahan sebanyak tiga kali dan tewas. Mereka diseret ke set penentuan dan tewas dalam perlawanan itu.

"Memori itu saya ingat sampai sekarang dan selepas itu, saya tak masuk saksikan mana-mana perlawanan lagi," katanya.


TAN Sri Elyas Omar bersama Piala Thomas 1992.

INFO: Skuad badminton Malaysia
Presiden BAM: Tan Sri Elyas Omar
Pengurus: Datuk Punch Gunalan
Pemain:
Rashid Sidek
Razif Sidek
Jalani Sidek
Foo Kok Keong
Cheah Soon Kit
Soo Beng Kiang
Rahman Sidek
Kwan Yoke Meng
Wong Ewee Mun

Info: Malaysia juara Piala Thomas

  • 1949 Malaya 8-1 Denmark (di Preston, England)

  • 1952 Malaya 7-2 Amerika Syarikat (di Singapura)

  • 1955 Malaya 8-1 Denmark (di Singapura)

  • 1967 Malaysia 6-3 Indonesia (di Jakarta, Indonesia)

  • 1992 Malaysia 3-2 Indonesia (di Kuala Lumpur).

"BERJUANG HABIS-HABISAN"...mungkin itulah kata semangat yang diucapkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar, kepada pemain perseorangan kedua Piala Thomas, Foo Kok Keong sambil diperhatikan oleh Rashid Sidek (tengah) pada 15 Mei 1992.
TAN Sri Elyas Omar memberi kata-kata perangsang kepada pemain perseorangan negara, Rashid Sidek (kiri) menjelang perlawanan akhir Piala Thomas menentang Indonesia pada 13 Mei 1992.
Berita Harian X