Isnin, 9 Januari 2017 | 5:34pm

Shuk meriahkan segmen pagi Hot FM

KUALA LUMPUR: Artis komedi, Shuk, 31, dipilih menerajui segmen Geng Pagi Hot bersama Ajak dan Fizie, bermula hari ini.

Menurut kenyataan pengurusan Rangkaian Radio Media Prima, penyertaan Shuk atau nama sebenarnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar, ke dalam keluarga stesen terbabit berkuat kuasa awal bulan ini.

Sebagai personaliti hiburan dikenali masa kini, kemasukan Shuk bakal merancakkan suasana pagi pendengar Hot FM bersama dua penyampai berkenaan.

Rombakan dilakukan sesuai dengan usia stesen terbabit yang memasuki tahun ke-11 ke udara.

Perubahan dibuat sejajar usaha sentiasa tampil dengan pembaharuan dan perubahan semasa, selain visi menjadi jenama dengan fokus utama dari segi muzik, hiburan serta pengisian gaya hidup terkini.

Barisan terbabit turut diperkukuhkan dengan Rea yang bersiaran dari jam 10 pagi hingga 4 petang untuk segmen Muzik Hot, trio Jam Hot merangkumi Deen, Issey dan Ammar dari jam 4 petang hingga 8 malam serta Haziq dan EL dengan segmen 50 Hot dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Untuk maklumat lanjut, pendengar boleh melayari laman web dan laman sosial media rasmi Hot FM di www.hotfm.com.my dan Facebook/Instagram/Twitter: hotfm976.

Berita Harian X