Selasa, 10 Januari 2017 | 12:06am

Keindahan songket memukau

SANJUNGAN pada Ratu Kain orang Melayu, songket begitu tinggi dan ia memang sewajarnya kerana hasil tenunan tradisional masyarakat Melayu itu sangat bernilai.

Nilai estetika songket yang tinggi ini, dapat dilihat daripada proses awal pembuatan hinggalah apabila ia dipakai. Ia menampilkan kejelitaan dan keanggunan si pemakai selain menegaskan sifat tertentu.

Ini dibuktikan lagi dengan rekaan fesyen berasaskan songket yang ditampilkan oleh pereka ternama tempatan Datuk Radzuan Radziwill, Carven Ong dan Bon Zainal pada pertunjukan fesyen, 'Malam Aspresiasi Songket' diadakan sempena Penganjuran Wanita Kreatif Fest, 2016, baru-baru ini.

Rekaan itu menyaksikan keindahan produk songket daripada Yayasan Tuanku Nur Zahirah dan Kraftangan serta memukau pandangan.

Motif baharu

Setiap helaian memukau itu dikatakan bukan saja berharga puluhan ribu ringgit tetapi memakan masa antara tiga hingga enam bulan untuk disudahkan.

Motif baharu termasuk abstrak dalam rona terang dan bertenaga seperti merah hati dan biru biji kundang menyerlahkan sisi berbeza fabrik yang sebelum ini banyak menampilkan rona polos.

Hadirin bagaikan terpukau memperlihatkan songket yang dipaparkan seolah-olah tiga dimensi mengikut atur langkah model yang menggayakannya.

Jelas, keindahan kain songket daripada Yayasan Tuanku Nur Zahirah memukau hadirin yang terpesona dengan corak yang begitu unik, tradisional dan melambangkan budaya Melayu menerusi rona jarang dapat dilihat dalam songket biasa.

Penambahan fabrik

Radzuan menampilkan koleksi musim bunga menggunakan songket dalam persalinan untuk lelaki dan wanita.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Nur Zahirah, berkata ratu kain Melayu yang sememangnya indah itu, 'diperindah' dalam bentuk persalinan, menerusi penambahan fabrik sifon serta renda dalam rekaan.

"Songket sememangnya agak keras, justeru untuk memperlihatkan gaya beralun untuk padanan bawah iaitu skirt, saya menggunakan fabrik sifon yang kontras strukturnya. Ada juga penambahan renda bagi memperkemaskan perincian rekaan," katanya.

Apa yang ingin ditonjolkan beliau dalam koleksi berkenaan ialah idea mengenai keanjalan persalinan songket untuk digayakan ke acara formal atau santai.

Menyudahkan koleksi berkenaan dalam tempoh kurang tiga bulan, pereka sinonim dengan helaian memukau ini, mengakui 'keras' fabrik songket antara cabaran perlu dihadapi dalam karyanya itu.

Mainan warna

Eksperimentasi pereka Carven juga berjaya memukau hadirin apabila menampilkan rekaan menjurus kepada sentuhan moden kontemporari.

Songket motif geometri rona hijau dan coklat, digandingkan bersama kemeja satin hijau muda tampak eksklusif dan segak buat jejaka.

Jaket songket dengan kolar tinggi antara menjadi perhatian hadirin. Pereka berpengalaman ini menampilkan songket berwarna biru biji kundang, yang seolah-olah 'bercahaya' disimbah lampu dek gandingan rona perak dalam kerja tenunan sepersalinan songket.

INFO: Songket

  • Mendapat jolokan Ratu Kain.

  • Tekstil kebanggaan setiap negara di rantau ini terutama Malaysia, Brunei, Thailand, Kemboja, Indonesia serta Vietnam.

  • Di Malaysia, negeri di pantai timur Semenanjung terutama Terengganu, Pahang dan Kelantan begitu sinonim dengan penghasilan songket.
55 dibaca
Berita Harian X