Selasa, 10 Januari 2017 | 1:42pm

Bekas setiausaha akhbar Tun Ghafar meninggal dunia


JENAZAH Bekas Setiausaha akhbar Tun Ghafar Baba, Dr Alias Mohamed yang meninggal dunia akibat penyakit jantung di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang pada jam 8.13 pagi tadi dibawa ke ruang solat Masjid Kampung Tunku untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Zohor nanti. -Foto NSTP/SUPIAN AHMAD

PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Akhbar Tun Ghafar Baba, Dr Alias Mohamed meninggal dunia akibat sakit jantung di Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC), Subang Jaya, pagi tadi.

Alias, 74, yang berkhidmat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada tahun 1989 hingga 1994 menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.13 pagi selepas empat bulan menerima rawatan di pusat perubatan berkenaan.

Anak ketiga Allahyarham, Suryani Senja, 46, berkata selain penyakit jantung, bapanya turut menghidap penyakit kencing manis dan masalah paru-paru.

"Sudah empat bulan ayah dirawat di SDMC dan pagi tadi ayah menghembuskan nafas terakhirnya. Kami masih terkejut dengan pemergiannya, namun reda dengan ketentuan tuhan.

"Ayah seorang yang baik hati dan dia juga sangat melindungi anak-anaknya. Saya tidak akan lupa kata-kata akhirnya yang dia akan terus menjaga dan melindungi kami sekeluarga," katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Jenazah Alias dimandi dan dikafankan di Masjid Kampung Tunku di sini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor.

Berita Harian X