Selasa, 10 Januari 2017 | 11:51pm

Ivanka letak jawatan dalam Trump Organization


IVANKA Trump.

NEW YORK: Ivanka Trump, anak perempuan pertama Amerika Syarikat (AS) dan isteri kepada penasihat khas Rumah Putih yang baharu, Jared Kushner, akan meletak jawatan daripada Trump Organization dan labelnya sendiri, lapor media negara itu hari ini.

Laporan itu muncul beberapa jam selepas Presiden dipilih AS, Donald Trump mengumumkan, menantu lelakinya itu akan memegang jawatan atasan sebagai penasihat khas ketua komander Republikan itu.

Laporan mendakwa, usaha oleh Ivanka, naib presiden pembangunan dan perolehan Trump Organization yang turut menubuhkan syarikatnya sendiri menjual pakaian, kasut dan barangan kemas, semata-mata mematuhi undang-undang.

Pasangan itu dijangka berpindah dari ibu kota ini ke Washington, dilaporkan memilih rumah baharu di kawasan kediaman mewah, namun media AS tidak menjangka Ivanka menerima jawatan rasmi buat masa ini.

Pelantikan suaminya itu berlaku walaupun satu undang-undang nepotisme persekutuan, diluluskan selepas Presiden John F Kennedy ketika itu melantik saudara lelakinya sebagai peguam negara, melarang mana-mana presiden daripada melantik saudara mara dalam jawatan kerajaan.

Peguam Kushner, Jamie Gorelick memberitahu akhbar Washington Post, beliau yakin, undang-undang berkenaan tidak terpakai berikutan pelantikan menantu lelaki Trump itu.

Pada masa lalu, pembantu Trump menggariskan perbezaan antara tugas peringkat kabinet dan kedudukan dalam Rumah Putih, mengatakan jawatan terkemudian memberi kelonggaran buat presiden melantik sesiapa yang dikehendakinya.

Gorelick memaklumkan, beliau akan meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Kushner Companies, firma pembangunan hartanah miliknya dan "melupuskan sejumlah aset menurut peraturan persekutuan."

The Post melaporkan, ketika isterinya merancang meletak jawatan dalam Trump Organization serta syarikatnya, beliau akan memberi tumpuan dalam jangka pendek, memindahkan keluarganya ke Washington. -AFP

25 dibaca
Berita Harian X