Khamis, 12 Januari 2017 | 4:19pm

Makanan di kantin punca pelajar, guru keracunan

PELAJAR dibawa ke Hospital Melaka selepas mengalami keracunan makanan, semalam. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Makanan yang dihidangkan pihak kantin kepada pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh di sini, semalam, dipercayai menjadi punca 18 pelajar dan seorang guru sekolah itu mengalami keracunan makanan.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman, bagaimanapun berkata pihaknya masih menyiasat jenis makanan yang dimakan semua mangsa.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengambil sampel makanan di kantin berkenaan untuk diuji.

"Siasatan awal yang dijalankan mengenal pasti makanan yang diambil daripada kantin itu menjadi punca semua pelajar dan guru yang terbabit mengalami keracunan.

"Kita juga sudah mengarahkan kantin sekolah itu ditutup selama dua minggu mulai semalam (kelmarin) untuk kerja pembersihan, sebelum dibenarkan beroperasi semula," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Ghazali berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, nasi goreng dipercayai menjadi punca 18 pelajar dan seorang guru SMK Ayer Keroh dimasukkan ke Hospital Melaka selepas mengalami keracunan makanan.

Semua pelajar berusia 13 dan 14 tahun serta guru berusia 46 tahun berkenaan mengalami simptom cirit-birit, muntah dan sakit perut selepas menikmati hidangan di kantin sekolah itu.

Berita Harian X