Khamis, 12 Januari 2017 | 10:34pm
LOH Chun Xian maut dalam kemalangan di Kilometer 334.6 Lebuhraya Utara Selatan.- Foto Ihsan Bomba

1 maut, 3 pekerja PROPEL cedera


SEORANG pemandu kereta maut manakala tiga pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL Berhad) cedera dalam kemalangan di Kilometer 334, Lebuhraya Utara Selatan, hala selatan. - Foto Ihsan Bomba

TAPAH: Seorang eksekutif jualan maut manakala tiga pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL Berhad) cedera dalam kemalangan di Kilometer 334.6 Lebuhraya Utara Selatan, hala selatan, dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Tapah itu, kereta Perodua Myvi dipandu eksekutif jualan itu merempuh kakitangan PROPEL dan lori yang diletakkan di lorong kecemasan.

Kemalangan menyebabkan pemandu kereta, Loh Chun Xian, 26, dari Kampung Datuk Harun, Serendah, Selangor, maut di tempat kejadian.

Kejadian turut menyebabkan dua pekerja PROPEL parah iaitu pemandu lori, Mohd Syamsul Izat Samsuddin, 38, yang patah kaki kiri dan Abdussalam Amiruddin, 26, yang patah kaki dan tangan. Seorang lagi pekerja PROPEL berusia 20 tahun cedera ringan di kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata kemalangan berlaku ketika pemandu dan empat pekerja PROPEL sedang menaikkan barang ke dalam lori di lorong kecemasan selepas selesai melakukan kerja di lebuh raya berkenaan.

"Pada ketika itu kereta Perodua Myvi datang dari belakang sebelum dipercayai terbabas dan melanggar pemandu lori dan dua pekerja PROPEL yang berada di belakang lori berkenaan dan kemudian melanggar pula belakang lori.

"Akibat kemalangan ini, pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu lori serta dua pekerja PROPEL cedera dan dirawat di Hospital Tapah manakala dua orang lagi pekerja PROPEL tidak cedera," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah yang tiba di lokasi mendapati seorang pemandu Perodua Myvi tersepit dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang berada di situ.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mayat mangsa dan menyerahkan mayat berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera pula dihantar ke hospital dengan kenderaan bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, operasi tamat jam 5.59 petang.

30 dibaca
Berita Harian X