Sabtu, 14 Januari 2017 | 11:07pm

Malaysia belasah HK saingan Liga Hoki Dunia


PEMAIN Malaysia, Hanis Onn (kanan) melakukan pukulan ketika mengasak pintu gol Hong Kong pada kejohanan Liga Hoki Dunia Wanita di Stadium Hoki Tun Razak. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Malaysia Tigress memulakan aksi pusingan kedua Liga Hoki Dunia (WHWL) dengan kemenangan besar apabila menundukkan Hong Kong, 9-0 pada aksi di Stadium Tun Razak, di sini malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah mengutip tiga mata berharga untuk menyuntik semangat serta meningkatkan keyakinan pemain untuk perlawanan seterusnya di dalam Kumpulan B.

Dalam perlawanan malam tadi, aksi di suku masa pertama menyaksikan skuad negara memperoleh tiga pukulan sudut penalti namun gagal membolosi gawang Hong Kong.

Bersambung di suku masa kedua, Malaysia bermula garang apabila berjaya menghasilkan tiga gol selepas Nurul Nabihah Mansur membuka tirai jaringan pada minit ke-17 melalui jaringan padang.

Ketua pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani menambah jaringan kedua untuk Malaysia pada minit ke-24, menerusi pukulan sudut penalti.

Berselang lima minit kemudian, Fazilla Sylvester Silin pula menghadiahkan gol ketiga juga dengan pukulan sudut penalti bagi mendahului Hong Kong, 3-0.


PEMAIN Malaysia, Siti Amarina Ruhani (dua dari kanan) meraikan gol jaringannya ketika perlawanan menentang Hong Kong di Stadium Hoki Tun Razak. - Foto Osman Adnan

Malaysia menambah derita pasukan pelawat apabila Hanis Nadiah Onn mencetak gol keempat menerusi jaringan padang pada minit ke-41 sebaik saja perlawanan babak ketiga bersambung.

Skuad negara yang berada di ranking ke-21 dunia memperoleh gol kelima hasil jaringan Nor Hazliza Ali melalui jaringan padang pada minit ke-46.

Anak buah Dharma Raj terus garang apabila meledak gol keenam, kali ini pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Nuraini Abdul Rashid.

Belum sempat Hong Kong menarik nafas lega, Fatin Shafika Mohd Sukri meledak gol ketujuh selang seminit kemudian sebelum Nuraini sekali lagi meledak gol kelapan pada minit ke-56 hasil pukulan sudut penalti.

Nuraini mencipta hatrik dan gol terakhir pada minit akhir perlawanan (minit ke-60) untuk membolehkan Malaysia menang selesa 9-0. Malaysia dijadual bertemu Ireland dalam perlawanan kedua, Isnin ini.

Pusingan kedua Liga Hoki Dunia (HWL), Kuala Lumpur

Keputusan:

Kumpulan A

Itali ... 3        Wales ... 0

Thailand ... 4 Singapura ... 0

Kumpulan B

Ireland ...  12 Kazakhstan ... 0

Malaysia ... 9 Hong Kong .... 0

Jadual: Hari ini (15 Januari 2017)

Kumpulan A

Wales mln Singapura, 6.15 ptg

Thailand mln Itali, 8.30 mlm

Esok (16 Januari 2017):

Kumpulan B

Kazakhstan mln Hong Kong, 6.15 ptg

Malaysia mln Ireland, 8.30 mlm

Berita Harian X