Ahad, 15 Januari 2017 | 12:01am

Seram sejuk berdepan Garuda

SKUAD badminton negara pernah berada di kemuncak kegemilangan dalam saingan berpasukan lelaki Piala Thomas. Rekod merangkul lima kali kejuaraan membuktikannya dengan kali terakhir piala keagungan itu singgah di tanah air pada tahun 1992.

BH Sukan akan memaparkan kisah perjuangan wira negara serta individu di belakang tabir yang berjuang memastikan kejayaan pada tahun 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Bagi minggu ini, wartawan BH Sukan, JUMIATI ROSLY mendapatkan pemain perseorangan utama negara, Rashid Sidek yang berkongsi rahsia kejayaan skuad negara.

RASHID mencatat sejarah sebagai pemain negara yang melakar rekod bersih kemenangan dalam setiap perlawanan Piala thomas 1992 sejak dari pusingan peringkat kumpulan lagi.

KUALA LUMPUR: Perlawanan sengit bertemu musuh tetangga sememangnya sudah diduga setiap kali pertemuan Malaysia-Indonesia dan mencapai kemuncaknya ketika kedua-dua negara mara ke final Piala Thomas 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Tonggak perseorangan pertama negara, Rashid Sidek yang menggalas harapan pertama negara menggambarkan suasana di stadium pada ketika itu terlalu bising terutamanya di tempat duduk penyokong negara lawan yang cukup riuh.

Bahkan, mereka juga provokasi berlebihan dengan mengejek pemain Malaysia dengan tujuan untuk membantu pemain Indonesia supaya mereka lebih selesa, seolah-olah beraksi di gelanggang sendiri.

"Ia memang sudah lumrah dari dulu lagi apabila pertemuan kedua-dua negara. Bagi saya perkara itu lebih kepada usaha untuk mengganggu tumpuan pemain," katanya.

Provokasi dan gangguan itu bukan saja menimbulkan suasana 'panas' di stadium tetapi gelagat dan penampilan luar biasa penyokong lawan juga kadang-kala menimbulkan persoalan hingga wujud dakwaan mereka mengamalkan ilmu hitam untuk mengganggu fokus pemain negara.

Bahkan, ketika perlawanan pertama hampir bermula, difahamkan pemain negara meminta pengadil dan penganjur menukar jaring baharu kerana merasa tidak selesa dengan jaring yang sudah dipasang awal.

RASHID menang dan menyumbang mata pertama.

Mengulas mengenai perkara itu, Rashid yang juga ketua jurulatih perseorangan Akademi Sports Affair tidak menafikannya tetapi menyifatkan dakwaan itu lebih kepada serangan psikologi ke atas pemain negara.

"Saya memang ada dengar perkara begitu tetapi saya tidak boleh menafikan 100 peratus kerana bagi saya, saya meminta tolong kepada Allah SWT untuk melindungi saya dan berniat untuk melakukan yang terbaik buat negara dan keluarga.

"Perasaan seram sejuk atau gerun ketika bertemu pemain Indonesia itu memang sudah biasa. Namun bagi saya sendiri, saya memang ada mengamalkan 'pendinding' bukan saja ketika bertemu Indonesia tetapi digunakan setiap kali bertanding," katanya.

Rashid, 48, menjelaskan pendinding yang diamalkan selama ini adalah lebih kepada rutinnya membaca Bismillah, selawat dan beberapa surah Al Quran bagi dijauhkan gangguan ilmu hitam.

"Sebenarnya ilmu hitam ini memang cubaan mengganggu psikologi saja hingga menyebabkan ada pemain lemah semangat atau hilang fokus tetapi tidaklah mengganggu hingga menyebabkan pemain nampak dua jaring misalnya atau mengganggu kesihatan pemain," katanya.

Berkongsi kisah rakan sepasukannya ketika menghadapi Piala Thomas 1992, Rashid mengakui hubungan mereka sebagai sebuah pasukan adalah rapat dan mereka menyertai pelbagai kem bina semangat dan kem motivasi untuk meningkatkan hubungan serta semangat berpasukan.

TONGGAK perseorangan pertama negara, Rashid Sidek yang menggalas harapan pertama negara.

"Berbeza dengan zaman sekarang yang pemainnya lebih kepada individualistik. Hubungan antara pemain juga bukan senang nak dibina kerana ia memerlukan tempoh beberapa bulan melalui kem bina semangat dan lain-lain.

"Jika hubungan itu sudah ada, kami lebih mudah berbincang apa saja mengenai pasukan. Jika ada yang tewas, kita sama-sama cari idea dan pendekatan untuk melakukan yang lebih baik selepas itu," katanya.

Bagi peminat sukan badminton, perlawanan skuad negara di pentas Piala Thomas 1992 sebenarnya ditentukan oleh pemain perseorangan, Rashid Sidek.

Jika Rashid menang dan menyumbang mata pertama, itu bermakna Malaysia berpeluang cerah untuk menang sama ada 5-0, 4-1 atau 3-2. Yang pasti, satu daripadanya ada hasil sumbangan pemain utama negara ini.

Sepanjang kempen itu, Rashid mencatat sejarah sebagai pemain negara yang melakar rekod bersih kemenangan dalam setiap perlawanan sejak dari pusingan peringkat kumpulan lagi.

Namun bagi Rashid, perjalanan skuad negara pada tahun itu bukanlah 'cantik' kerana pada peringkat kumpulan, Malaysia dikejutkan dengan kekalahan kepada Korea dengan keputusan 2-3.

"Ketika tewas dengan Korea di peringkat kumpulan, ramai pemain yang kecewa tetapi mungkin juga di situlah bermulanya titik kebangkitan pasukan negara kerana selepas itu, semangat berpasukan yang dipamerkan cukup tinggi.

"Tan Sri Elyas Omar, (Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Setiausaha BAM, Datuk Punch Gunalan dan jurulatih banyak memberi semangat kepada pemain.

RASHID akui hubungan dengan rakan sepasukan adalah rapat dan kami menyertai pelbagai kem bina semangat serta kem motivasi untuk meningkatkan hubungan serta semangat berpasukan.

"Mereka selalu tegaskan, saingan belum habis lagi, tak habis lagi. Jadi kami segera bangkit," katanya yang kagum dengan kesungguhan pegawai pasukan meningkatkan semangat pemain negara.

Bagi Rashid, selepas kemenangan negara pada 1992, skuad negara memiliki beberapa kali laluan selesa dan 'cantik' untuk memenangi trofi itu semula terutama pada 2002 dan 2014 namun pulang dengan kehampaan.

Pemain yang pernah mewakili negara pada aksi Piala Thomas sebanyak enam kali sejak 1986 ini juga berkongsi rahsia mengenai sikap pemain pada eranya jika dibandingkan dengan pemain sekarang.

"Pemain dulu tidak pernah memikirkan soal habuan kerana bagi kami, kami perlu memperoleh keputusan yang baik dulu kemudian barulah habuan akan datang.

"Pemain sekarang pula meminta habuan terlebih dulu, fikir duit dulu. Semangat patriotik kepada negara juga semakin berkurang," katanya yang masih yakin dan tetap menaruh harapan skuad negara mampu menjulang sekali lagi piala rebutan itu.

RASHID Sidek amalkan 'pendinding' untuk lebih fokus di gelanggang.

PROFIL:

Nama: Abdul Rashid Mohd Sidek

Tarikh lahir: 8 Julai 1968

Umur: 48 tahun

Asal: Banting, Selangor

Tinggi: 1.80 meter

Acara: Perseorangan lelaki

Penyertaan Piala Thomas:

1986- ketiga

1988- Naib juara

1990- Naib juara

1992- Juara

1994- Naib juara

1996- Peringkat Kumpulan

Keputusan di Thomas 1992:

Separuh akhir - Rashid mn Zhao Jianhua 18-14, 10-15, 15-12

Akhir - Rashid mn Ardy Bernardus Wiranata 15-11, 10-15, 15-8

INFO: Laluan Malaysia di Piala Thomas

Kumpulan B - Korea 3-2 Malaysia; Malaysia 5-0 Denmark; Malaysia 4-1 England; Naib juara Kumpulan B

Separuh akhir - Malaysia 3-2 China

Akhir - Malaysia 3-2 Indonesia

Berita Harian X