Ahad, 15 Januari 2017 | 12:05am

Trend pembacaan rakyat capai sasaran negara maju

KETIKA pesta buku di negara ini mencatatkan kunjungan memberangsangkan dan meningkat saban tahun, timbul pertanyaan apakah bahan bacaan pilihan masyarakat mengandungi nilai intelektual atau sekadar karya popular? Bagaimana pula sasaran Malaysia sebagai negara maju dalam konteks budaya membaca masih jauh lagi daripada gapaian?

Wartawan Sastera & Budaya, Siti Haliza Yusop menemubual Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Nafisah Ahmad.

KETUA Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Nafisah Ahmad. - Foto ihsan pembaca

Soalan (S): Bagaimana PNM menyuburkan minat membaca sesuai dengan misi ke arah melahirkan masyarakat berpengetahuan, pemikir dan kreatif?

Jawapan (J): Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui PNM selaku Urus Setia Program Galakan Membaca Kebangsaan sentiasa berusaha meningkatkan amalan membaca masyarakat melalui penganjuran pelbagai program galakan membaca sepanjang tahun termasuk di luar bandar.

Antara dilaksanakan ialah Kempen Galakan Membaca Peringkat Kebangsaan dan program literasi media untuk memberi pendedahan serta pendidikan kepada masyarakat mengenai kaedah pencarian, penilaian dan penggunaan maklumat.

PNM juga bekerjasama dengan pelbagai agensi awam dan swasta menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menyemarakkan kempen galakan membaca termasuk dengan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM).

S: Berapakah jumlah pinjaman buku di PNM setakat tempoh enam bulan pertama 2016 dan benarkah tanggapan ia tidak dipinjam kerana masyarakat tidak berminat?

J: Menurut statistik PNM, trend pinjaman bahan dari perpustakaan di seluruh negara menunjukkan sedikit penyusutan namun harus diingat, bahan bacaan masyarakat kini tidak lagi terhad kepada buku fizikal. Generasi Y dan netizen lebih gemar mengakses bahan bacaan melalui internet, malah statistik peminjaman bahan digital kami bagi tiga tahun lalu menunjukkan peningkatan ketara.

Berdasarkan data ini, PNM tidak melihat ada isu mengenai bahan bacaan di perpustakaan tidak dipinjam atau tidak menarik minat masyarakat. Bagaimanapun tidak dinafikan terdapat buku perpustakaan yang kurang dipinjam atau digunakan disebabkan kekinian maklumat atau kandungannya.

S: Perangkaan PNM menunjukkan jumlah buku dibaca rakyat Malaysia meningkat saban tahun bagaimanapun bacaan dipilih dikatakan kurang memiliki nilai ilmiah. Apakah senario ini menunjukkan kita masih lagi jauh mencapai taraf negara maju yang diukur daripada jumlah dan jenis bahan bacaan oleh masyarakatnya?

J: Berdasarkan Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia 2014, didapati bahan bacaan pilihan rakyat Malaysia ialah majalah sebanyak 62.8 peratus; akhbar (61.2 peratus); buku ilmiah (54.8 peratus); novel dan fiksyen (47 peratus); bahan dalam talian (46.4 peratus); buku bukan fiksyen (29.9 peratus); komik (25.3 peratus) dan jurnal (19.9 peratus).

Kami berpendapat penyataan masyarakat kita memilih bahan bacaan yang kurang memiliki nilai ilmiah adalah kurang tepat. Hasil kajian juga ini menunjukkan secara keseluruhannya rakyat Malaysia membaca sebanyak 15 naskhah buku setahun.

Selain itu, didapati kebanyakan rakyat Malaysia membaca bagi tujuan untuk menambah ilmu pengetahuan, mengisi masa lapang dan sebagai bahan hiburan bagi mendapatkan motivasi serta juga untuk tujuan pendidikan.

PNM optimis masyarakat kita berada di atas landasan yang betul untuk mencapai taraf negara maju jika diukur daripada jumlah dan jenis bahan bacaan oleh masyarakatnya.

S: Apakah peranan yang boleh dimainkan semua pihak dalam memastikan tabiat membaca benar-benar dapat dibudayakan?

J: Amalan membaca perlu dipupuk pada peringkat awal usia dan peranan ibu bapa amat penting bagi memastikan tabiat membaca anak dapat ditanam seawal usia.

Institusi pendidikan dari sekolah sehingga universiti juga perlu memperbanyakkan program galakan membaca bagi menyemai budaya membaca dan membolehkan pelajar mempunyai ilmu mencukupi supaya mampu berfikir serta bertindak dengan bijak.

Peranan sama boleh turut dimainkan media melalui pemaparan dan promosi gaya hidup membaca untuk ditonton dan dibaca oleh masyarakat. Paling signifikan, penulis dan penerbit buku memainkan peranan dalam penyediaan bahan bacaan bagi memastikan kandungan buku adalah berkualiti tinggi.

PNM sendiri sentiasa memantau dan mengadakan perbincangan dengan penulis dan penerbit buku tempatan untuk memastikan bahan bacaan yang berkualiti dihasilkan bagi memenuhi kehendak masyarakat.

Pemimpin masyarakat perlu memperkukuhkan minda dengan ilmu pengetahuan untuk menjadi suri teladan kepada masyarakat. Budaya membaca perlu dipamerkan bagi mencetuskan rasa ingin melakukan dan meminati gaya hidup sama dalam amalan membaca dan berbudaya ilmu.

Peranan ini juga perlu dimainkan syarikat korporat memandangkan perpustakaan adalah perkhidmatan sosial yang disediakan secara percuma kepada orang ramai.

Mereka boleh menyumbang dari segi pembinaan koleksi bahan bacaan, penyediaan persekitaran selesa dalam perpustakaan dan pembinaan bangunan perpustakaan di kawasan luar bandar sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat.

Berita Harian X