Ahad, 15 Januari 2017 | 7:22am

Chelsea menang tanpa Costa

PEMAIN sayap, Marcos Alonso (tengah) muncul wira pada perlawanan itu apabila meledakkan dua gol - jaringan kedua dan ketiganya bersama Chelsea.

LEICESTER: Chelsea tidak menghiraukan ketiadaan penuh kontroversi Diego Costa ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas penyandang juara, Leicester City, awal pagi tadi.

Pemain sayap, Marcos Alonso muncul wira pada perlawanan itu apabila meledakkan dua gol - jaringan kedua dan ketiganya bersama Chelsea - pada kedua-dua babak perlawanan sebelum rakan senegaranya dari Sepanyol, Pedro Rodriguez melengkapkan jumlah jaringan.

Ia memberikan skuad bimbingan Antonio Conte itu kemenangan selesa di sebalik ketiadaan penjaring gol terbanyak, Costa yang dilaporkan bertegang leher di kem latihan pasukan itu dengan jurulatih kecergasan, Julio Tous.

Penyerang kelahiran Brazil namun beraksi bersama Sepanyol itu turut dilaporkan diminati kelab dari China sekali pun Conte sebelum perlawanan berkenaan menafikan spekulasi itu.

Kemenangan itu adalah yang ke-14 buat Chelsea daripada 15 pertemuan EPL selain kebangkitan sempurna selepas kekalahan 2-0 kepada Tottenham Hotspur, minggu lalu ketika Leicester merakam kekalahan ke-10 musim ini.

Chelsea kekal calon pilihan untuk menggantikan skuad bimbingan Claudio Ranieri selaku juara dan kini memiliki jurang besar tujuh mata di depan Tottenham yang menghuni tangga kedua.

Sekali pun wujud laporan yang mengatakan ada kelab China yang ingin menawarkan jumlah bertaraf mega untuk mendapatkan Costa, Conte begitupun berkata ketiadaan penyerangnya itu disebabkan oleh kecederaan.

"Saya ulangi kebenarannya kerana saya gemar untuk berkata perkara yang benar dan bukan menipu," katanya kepada BT Sport.

"Diego berhenti menjalani latihan Selasa lalu kerana dia merasa sakit di bahagian belakangnya dan sejak itu dia tidak berlatih pada minggu berkenaan. Disebabkan ini, dia tidak bermain hari ini. Ia adalah kebenarannya."

Costa, 28, dilaporkan menerima tawaran dari China dengan gaji lumayan STG30 juta (RM177 juta) setahun.

Namun Conte berkata: "Saya tidak tahu mengenai perkara ini."

Pada awal perlawanan di Stadium King Power, Leicester terlebih dulu melakukan cubaan apabila Ahmed Musa berjaya menewaskan pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta di kawasan penalti namun sepakannya berjaya ditepis Thibaut Courtois dan tindakan susulan Jamie Vardy tidak tepat.

Lima minit kemudian, Chelsea berang apabila pertahanan Leicester, Robert Huth tidak dikenakan tindakan selepas menepis sepakan percuma Willian dengan tangan sebelum Alonso meletakkan pelawat di depan pada minit ke-6.

Alonso sekali lagi meledak gol pada minit ke-51 sebelum Pedro melengkapkan jumlah jaringan pada minit ke-71. - AFP

Berita Harian X