Ahad, 15 Januari 2017 | 10:51am

Draxler ledak gol tunggal selamatkan PSG


JULIAN Draxler menghasilkan penyudah cukup baik bagi menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Paris Saint Germain (PSG) ke atas Rennes pada penampilan sulungnya di Ligue 1, awal pagi tadi.

PARIS: Bintang baharu, Julian Draxler menghasilkan penyudah cukup baik bagi menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Paris Saint Germain (PSG) ke atas Rennes pada penampilan sulungnya di Ligue 1, awal pagi tadi.

Kemenangan menyaksikan PSG kini berkongsi jumlah 42 mata bersama kelab di tangga kedua liga, Monaco dan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Nice dengan kedua-duanya dijadual beraksi pada malam ini dan awal pagi esok.

Nice akan menanti kunjungan kelab bergelut, Metz manakala Monaco bakal menempuh laluan lebih sukar apabila berkunjung ke Marseille.

Draxler, 23, yang berada dalam skuad juara Piala Dunia Jerman pada 2014 dan baru saja tiba di PSG dengan perpindahan bernilai 40 juta euro (RM189.99 juta) dari Wolfsburg tampil dengan jersi PSG buat pertama kali di pentas liga.

Sekali pun ia adalah gol pertamanya di Ligue 1, ia adalah gol ketiga Draxler bersama PSG yang membuktikan gandingannya bersama pemain tengah Itali, Marco Verratti kian serasi buat skuad bimbingan Unai Emery itu.

Berpunca daripada hantaran menarik Verratti pada minit ke-40, Draxler dengan tenang melepaskan rembatan lencong dari yang berjaya menewaskan penjaga gol Rennes, Benoit Costi.

"Draxler melakukan kerja yang baik. Menjaringkan gol yang cantik dan menunjukkan kualitinya dan nilainya kepada pasukan. Dia menyesuaikan diri dengan baik," kata Emery.

Draxler sebelum itu turut memperoleh beberapa peluang termasuk berpunca daripada hantaran jauh Verratti namun rembatannya berjaya dibaca Costil. - AFP

Berita Harian X