Isnin, 16 Januari 2017 | 12:05am

Karya sastera tidak terlepas cengkaman lanun digital

KUALA LUMPUR: Lanun digital tidak memilih mangsa kerana bukan hanya novel popular yang dimuat turun secara haram, malah karya sastera tanah air tidak terlepas daripada sasaran mereka.

Gejala memuat naik dan turun karya sastera dalam format e-buku itu menambah kesengsaraan penulis meskipun ia mungkin dipandang remeh oleh pembaca yang memilih cara haram daripada mengeluarkan duit untuk membeli novel yang disukai.

Apakah mereka tidak menghiraukan nasib penulis yang terpaksa menyaksikan satu persatu karya mereka 'dirompak' dengan mudah secara digital?

Novelis Lukanya Merah, Rohani Deraman, berkata beliau hanya menyedari novelnya dicetak rompak secara berleluasa beberapa minggu lalu selepas isu itu dibangkitkan oleh khalayak penulis tanah air.

Rohani yang turut dikenali sebagai Fida Rohani berkata, kebanyakan karyanya yang masih boleh didapati di pasaran, dimuat turun secara haram di pelbagai laman web dan aplikasi dengan setiap satunya melebihi 500 muat turun.

"Keadaan ini sangat mengecewakan kerana bukan mudah untuk menyiapkan sesuatu karya. Kebanyakannya memerlukan waktu berbulan-bulan, malah ada antara novel yang saya hasilkan mengambil masa sehingga setahun untuk disempurnakan.

"Semua karya saya yang dicetak rompak itu sudah dimuat turun melebihi 4,000 kali di pelbagai laman web dan aplikasi. Pendek kata, memang sudah puas mereka 'merompak' kami apatah lagi isu cetak rompak versi digital ini sudah berlangsung sejak beberapa tahun lalu meskipun kebanyakan pengarang baru menyedarinya dalam beberapa bulan kebelakangan ini," katanya kepada BH, di sini.


ISU cetak rompak itu masih perlu dibendung sehingga ke akar umbi. - Foto hiasan

Pembaca setia beri sokongan

Rohani berkata, meskipun masih ada pembaca setia yang memberi jaminan akan terus memberi sokongan kepada kerjaya penulisannya dengan membeli naskhah asli, isu cetak rompak itu masih perlu dibendung sehingga ke akar umbi.

"Kebelakangan ini, jualan novel turun dengan banyak malah pelbagai perbincangan dilakukan antara penerbit dan pengarang bagi mengenal pasti kaedah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini.

"Nampaknya ketika kami berusaha keras memastikan jualan karya dapat ditingkatkan semula, ada pula pihak yang mengambil jalan singkat memuat turun dalam bentuk digital secara haram tanpa perlu mengeluarkan satu sen pun," katanya.

Rohani tidak menolak kemungkinan isu muat naik tanpa kebenaran di internet tidak diketahui umum sebagai antara bentuk pelanggaran hak cipta dan berharap persatuan penulis dan pemain industri buku dapat bersatu bagi memastikan isu cetak rompak dapat diatasi.

"Senario kini sudah berlainan dan kita tidak boleh hanya memperjuangkan isu royalti sahaja sedangkan di internet karya kita dirompak ratusan kali dengan mudahnya," katanya.

Lanun digital itu bukan hanya memuat naik dan turun karya dalam bentuk novel, malah genre puisi pun tidak terkecuali daripada menerima tempias seperti berlaku kepada penyair mapan, Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K Matari.

Karya Rosli K Matari, iaitu kumpulan puisinya sejak 2011 termasuk Matahari Itu Jauh yang diterbitkan dua tahun lalu oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), turut dicetak rompak secara digital dan dimuat naik di lebih 10 laman web.

Rosli K Matari berkata, meskipun berpendirian karyanya terbitan persatuan penulis boleh dipetik dan diterjemah untuk dinikmati masyarakat asalkan tidak bertujuan komersial, perkara sama tidak wajar dilakukan pembaca sekiranya ia membabitkan karyanya yang diterbitkan institusi penerbitan.


PENYAIR mapan, Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K Matari. - Foto Saifullizan Tamadi

Izin sebar luas hasil karya

"Saya izinkan pembaca untuk menyebar luas semua kumpulan karya saya kerana saya tidak berkarya untuk mengejar wang dan itulah rahsia sebenar saya banyak memilih persatuan penulis untuk menerbitkan kumpulan puisi saya.

"Namun, ini tidak terpakai sekiranya karya saya diterbitkan institusi penerbitan seperti ITBM. Pembaca wajib menghormati hak pengarang dan penerbit serta mematuhi undang-undang berkaitan hak cipta yang tidak membenarkan gejala cetak rompak ini berlangsung," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Karyaseni Sdn Bhd, Datuk Wan Mohd Muzri Ramli, berkata isu cetak rompak karya kreatif perlu diatasi dengan memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai isu hak cipta dan diterapkan dalam kurikulum pada peringkat sekolah serta universiti.

"Saya sendiri kurang faham mengenai isu hak cipta ini ketika awal pembabitan dalam penerbitan novel dan perkara sama berlaku kepada mereka yang tidak terbabit dalam industri buku.

"Kebanyakan yang terbabit dengan isu cetak rompak karya ini adalah dari kalangan generasi muda yang tidak mengetahui bahawa menyalin semula atau mengambil gambar setiap halaman novel untuk dimuat naik ke internet sebenarnya adalah sebahagian pelanggaran hak cipta," katanya.


LANUN digital tidak memilih mangsa kerana bukan hanya novel popular yang dimuat turun secara haram, malah karya sastera tanah air tidak terlepas daripada sasaran mereka. - Foto hiasan

16 dibaca
Berita Harian X