Isnin, 16 Januari 2017 | 1:26pm

Abang ugut bunuh adik didenda RM2,800

AYER KEROH: Seorang pembantu restoran didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengugut untuk membunuh adik perempuannya di sebuah rumah di Paya Dalam, awal bulan ini.

Muhammad Nurahad'din Md Dali, 22, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan bunuh kepada adik perempuannya di sebuah rumah di Bukit Kecil, Paya Dalam, kira-kira jam 7.15 malam, pada 3 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Superintendan Nora Yaacob memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat.

Muhammad Nurahad'din yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diringankan dengan alasan bekerja sebagai pembantu restoran.

Analia menjatuhkan hukuman denda RM2,800 terhadap tertuduh atau 12 bulan penjara jika gagal bayar denda.

18 dibaca
Berita Harian X