Isnin, 16 Januari 2017 | 7:55pm

Maut dihempap jengkaut


ANGGOTA bomba tiba di lokasi kejadian seorang lelaki maut dihempap jengkaut yang dipandunya berhampiran jeti Telok Panglima Garang, Banting, petang tadi. - Foto ihsan bomba

BANTING: Seorang lelaki maut dihempap selepas jengkaut yang dipandunya terbalik dalam kejadian berhampiran jeti Telok Panglima Garang di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa, Jodi Renanda, 19, yang berasal dari Aceh meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil, berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 3.34 petang dan sepasukan lapan pegawai dan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Pihak bomba mengambil masa selama 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dan operasi berakhir pada jam 5.16 petang. Berdasarkan keadaan lokasi, jengkaut itu yang berada di tepi tebing mengalami masalah keseimbangan menyebabkan mangsa tergelincir dan jatuh, sebelum jengkaut terbalik dan menghempapnya.

"Kejadian berlaku ketika mangsa hendak mengalihkan jengkaut ke tempat lain. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi BH Online di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Zailan Tasir, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan rakan mangsa bagi membantu siasatan.

"Mayat dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X