Selasa, 17 Januari 2017 | 12:11am

Semua novel Siti Rosmizah dicetak rompak

KUALA LUMPUR: Novelis popular tanah air, Siti Rosmizah Semail tidak terkecuali menjadi mangsa lanun digital dan terpaksa membuat laporan polis bagi mendapatkan keadilan, sekali gus menghentikan perbuatan tidak bertanggung jawab itu.

Siti Rosmizah dalam satu temubual dengan Sastera & Budaya BH di sini, mengakui pelanggaran hak cipta kini menjadi fenomena biasa, malah beliau sendiri mengalaminya dengan kes terbaru masih dalam siasatan polis.

"Bayangkan, semua novel tulisan saya dicetak rompak dan dijual semula dengan harga yang begitu murah, manakala novel yang paling banyak dicetak rompak ialah naskhah terbaru, `Rindu Awak Separuh Nyawa' meskipun baru diterbitkan tahun lalu.

"Saya sudah membuat laporan polis berhubung hal ini dan masih dalam siasatan. Apabila membabitkan isu cetak rompak, ia bukan kerja seorang individu saja tetapi banyak pihak terbabit dalam membekalkan novel cetak rompak ini.

"Cuma saya berharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan siasatan kerana saya selaku penerbit dan penulis terus menanggung kerugian berikutan penjualan novel cetak rompak ini," katanya.


SITI Rosmizah menunjukkan novel `Rindu Awak Separuh Nyawa' hasil tulisannya. - Foto Adi Safri

Siti Rosmizah berkata, kebanyakan golongan yang membaca novel sekarang adalah remaja dan pengetahuan mereka terhadap akta hak cipta mungkin cetek tetapi malangnya, ada orang dewasa yang terbabit dalam pelanggaran hak cipta ini.

Katanya, dalam apa keadaan sekalipun, mana-mana bahagian daripada novel dilarang diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau diubah dalam apa saja bentuk, misalnya memetik perenggan atau bab dalam novel dan diletakkan di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter atau laman web kecuali dengan kebenaran penerbit.

Tindakan membawa pelaku yang terbabit dalam membuat salinan novel secara haram itu akan turut diambil oleh Grup Buku Karangkraf yang menerbitkan hampir 100 judul novel terbaru setiap tahun di bawah Alaf 21 dan Buku Prima.

Pengarah Eksekutif Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin, berkata pihaknya tidak akan berlembut dengan individu terbabit, apatah lagi selepas melihat pelanggaran hak cipta novel terbitannya berleluasa sejak dua tahun lalu termasuk membabitkan karya yang baru saja diterbitkan pada 2016.

Katanya, meskipun mengakui tidak mudah mengesan individu yang melakukan kesalahan cetak rompak, terutama dalam bentuk digital, pihaknya akan terus memburu mereka termasuk meminta kerjasama daripada pembangun aplikasi atau laman web itu sendiri.


NOVELIS popular tanah air, Siti Rosmizah Semail. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Beliau berkata, ketika ini pihaknya dengan kerjasama pengarang masih mengumpul judul novel terbitannya yang dicetak rompak dan tindakan undang-undang akan diambil sebaik semua maklumat diperoleh.

"Sebagai syarikat penerbitan, kami melabur modal besar termasuk kerja penyuntingan, grafik, konsep novel dan percetakan tetapi sebaik novel itu berada di pasaran, ia dengan sewenang-wenangnya dimuat naik secara digital tanpa izin.

"Isu ini turut memberi kesan kepada motivasi pengarang. Ada di antara mereka menjadi penulis dan menghasilkan hanya satu karya setahun. Bayangkan bagaimana perasaan apabila kerja keras bagi menghasilkan karya terbaru akhirnya 'dirompak' sedemikian rupa," katanya.

Firdaus berkata, meskipun isu cetak rompak buku ini hanya 'riuh' dalam kalangan pemain industri buku, kesannya akan memburukkan industri berkenaan yang sudah sedia berdepan pelbagai cabaran getir lain, terutama dalam memasuki tahun baharu 2017.

"Pelanggaran hak cipta bukan isu terpencil, malah membabitkan hampir semua judul novel popular termasuk terbitan rakan penerbit lain dan kami amat berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sangat tegas," katanya.

Fakta nombor

30 peratus - Anggaran kejatuhan jualan novel tahun lalu.

INFO

  • Grup Buku Karangkraf menerbitkan hampir 100 judul novel terbaru setiap tahun.
  • Naskhah terbaru hasil karya Siti Rosmizah Semail, 'Rindu Awak Separuh Nyawa', dicetak rompak.
59 dibaca
PENGARAH Eksekutif Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin. - Foto Rosdan Wahid
Berita Harian X