Selasa, 17 Januari 2017 | 1:26pm

Ramai diplomat Korea Utara tunggu masa paling tadah


Thae Yong Ho berpaling tadah ke Korea Selatan pada Ogos lalu.

SEOUL: Ramai diplomat peringkat tertinggi Korea Utara hanya menunggu masa berpaling tadah ke Korea Selatan dari jawatan luar negara mereka di Eropah, kata bekas timbalan duta Pyongyang ke London hari ini, menurut agensi Yonhap.

Thae Yong Ho berpaling tadah ke Korea Selatan pada Ogos lalu dan sering bercakap kepada media tempatan serta muncul di pelbagai rancangan televisyen sejak Disember 2016 bagi membincangkan tindakan beliau berpaling tadah ke Seoul dan hidupnya sebagai Duta Korea Utara.

"Sebahagian besar diplomat Korea Utara datang ke Korea Selatan baru-baru ini. Saya bukan satu-satunya duta dari Eropah.

"Ramai lagi yang menunggu masa untuk datang," kata Thae, ketika berucap dalam satu majlis diadakan di bangunan Parlimen Korea Selatan, menurut Yonhap.

Thae, 54, terang-terangan menyatakan rasa tidak puas hati dengan pemerintahan pemimpin muda Kim Jong Un mendorong beliau untuk melarikan diri dari jawatannya.

Namun pada masa sama, beliau mempunyai dua anak lelaki yang masih menuntut di universiti dan isteri yang tinggal bersamanya di London, dijadual kembali ke negara terasing Korea Utara itu.

Beliau adalah pegawai tertinggi pernah melarikan diri dari Korea Utara untuk ke Selatan sejak pembelotan Hwang Jang Yop pada 1997, pencetus di sebalik ideologi 'Juche' pemerintahan Korea Utara, menggabungkan Marxisme dengan nasionalisme melampau.

"Daripada semua yang berpaling tadah di peringkat tertinggi baru-baru ini, saya seorang saja yang melakukannya secara terbuka," kata Thae. - Reuters

Berita Harian X