Selasa, 16 Disember 2014 | 4:10pm

Warga emas maut digilis treler

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas berusia 72 tahun maut selepas digilis treler di Kampung Gelung Bilal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Omar Ibrahim, yang bekerja sebagai tukang sapu di bandar raya ini dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Padang dengan mengayuh basikal.

Bagaimanapun, setibanya di simpang lampu isyarat kampung terbabit, mangsa dikatakan berhenti di penghadang jalan bersebelahan treler itu.

Sebaik lampu isyarat bertukar hijau, treler yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun bergerak dan menyebabkan warga emas itu terperosok di bawah lori sebelum digilis kenderaan berat berkenaan.

Sementara itu, menantu mangsa, Dianan Yusof, 55, berkata, bapa mentuanya meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah pada anggota badan.

Katanya, arwah suka bergurau dan tidak sangka semalam adalah gurauan terakhirnya bersama keluarga.

"Arwah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan kami reda dengan kejadian ini," katanya.

Berita Harian X