Selasa, 17 Januari 2017 | 5:10pm

Wanita dihukum mati kerana bakar anak hidup-hidup


Hassan Khan menunjukkan gambar isterinya, Zeenat Bibi, di telefon bimbit yang dibakar hidup-hidup oleh ibunya di kediamannya di Lahore. - Foto AFP

ISLAMABAD: Seorang wanita dijatuhi hukuman mati kelmarin kerana membakar anak perempuannya hidup-hidup selepas mangsa berkahwin lari, beberapa bulan selepas Parlimen meluluskan undang-undang baru menjadikan hukuman bagi kes 'pembunuhan bermaruah' lebih tegas.

Zeenat Rafiq, 16, dibakar oleh ibunya, Parveen Bibi, pada Jun 2016, seminggu selepas mangsa berkahwin lari dengan kekasihnya, Hasan Khan, di mahkamah di Lahore.

Parveen, sebelum itu mengaku membunuh anak perempuannya kerana 'memalukan keluarga.'

Polis mengesyaki dia dibantu anak dan menantu lelakinya untuk melakukan jenayah itu.

Hakim Mahkamah Antikeganasan Lahore, Chaudhry Muhammad Ilyas, menjatuhkan hukuman mati ke atas Parveen dan hukuman penjara seumur hidup terhadap anak lelakinya, Anees, kerana membunuh Zeenat.

Mahkamah, bagaimanapun membebaskan menantunya, Zafar.

Kedua-dua beranak itu mengaku di mahkamah mereka memukul Zeenat dan kemudian mengikat mangsa di katil dan membakarnya selepas menyimbah Zeenat dengan minyak tanah.

Dalam pengakuannya, Parveen berkata, dia membunuh anak perempuannya kerana menjatuhkan maruah keluarga dan 'tidak kesal' membakar mangsa hidup-hidup.

Zeenat mengahwini Hasan pada 29 Mei tahun lalu. Hasan berketurunan Pashtun manakala Zeenat daripada kaum Punjabi yang dikatakan menjadi punca utama hubungan mereka tidak direstui keluarga mangsa, memaksa mereka melarikan diri.

Suami Zeenat bersetuju membenarkan isterinya kembali ke rumah selepas keluarga mangsa berjanji mengadakan majlis resepsi untuk mereka.

Katanya, Zeenat enggan balik ke rumah keluarganya kerana bimbang dibunuh.

"Namun beliau bersetuju selepas keluarganya memberi jaminan keselamatannya," kata Hasan.

Beliau berkata, selepas dua hari Zeenat menghubunginya dan memberitahu keluarganya marah dan berasa tidak selamat.

Zeenat kemudian dibunuh.

Selepas Zeenat dibakar, tiada seorang pun anggota keluarganya menuntut mayat beliau, kata polis, menyebabkan keluarga suaminya mengebumikan mayatnya yang rentung di perkuburan berhampiran Lahore. - AGENSI

Berita Harian X