Selasa, 17 Januari 2017 | 10:37pm

Liga Hoki Wanita Dunia: Malaysia berpesta ledak 13 gol


PEMAIN Malaysia, Norfaiezah Mohd Sayuti (kiri) diasak pemain Kazakhstan pada aksi Liga Hoki Wanita Dunia (WWHL) di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Luqman Hakim ZUbir

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara menempah pertemuan suku akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia (WWHL) menentang Thailand apabila membelasah Kazakhstan 13-1 di Stadium Tun Razak dekat sini, sebentar tadi.

Kemenangan besar itu memastikan skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah menamatkan saingan Kumpulan B di tangga kedua, di belakang Ireland, sekali gus mengelak pertemuan sukar dengan naib juara Kumpulan A, Wales.

Malaysia terlepas peluang menjuarai aksi peringkat kumpulan selepas tewas kepada Ireland 2-1 semalam, dengan pasukan pilihan dari Eropah itu bakal berdepan Hong Kong.

Bagaimanapun, masih ada ruang yang perlu diperbaiki skuad negara terutamanya bahagian pertahanan diterajui Siti Nur Amarina Ruhani dan Juliani Din yang bergerak terlalu tinggi daripada posisi asal sehingga beberapa kali terperangkap dengan larian pantas Vera Domashneva.

Malah, satu-satunya gol pasukan ranking ke-33 dunia itu juga hadir menerusi gerakan balas hasil kesilapan Amarina yang gagal menahan kemas bola untuk disudahkan Vera pada minit ketujuh untuk mengikat kembali aksi 1-1 pada awal permainan.

Pada aksi yang berlangsung dalam keadaan hujan renyai itu, Malaysia bagaikan dirasuk dengan Fatin Shafika Sukri mencetak hatrik manakala Nuraslinda Said dan Fazilla Sylvester Silin masing-masing meledak dua gol.

Pesta jaringan itu dilengkapkan Nurul Nabihah Mansur, Nor Hasliza Ali, Nuraini Rashid, Norazlin Sumantri, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Mohd Saiuti untuk kemenangan terbesar dirakam skuad kendalian Dhaarma Raj.

Kejohanan ini menawarkan slot automatik buat dua pasukan terbaik ke Pusingan Ketiga WWHL di Brussels, Belgium atau Cape Town, Afrika Selatan pada Jun ini, yang menjadi landasan terakhir ke Piala Dunia 2018 London.

Keputusan:

Kumpulan A -

Itali 9 Singapura 0

Wales 3 Thailand 0

Berita Harian X