Rabu, 18 Januari 2017 | 4:23pm

Erra Fazira mahu ligat berniaga

ERRA Fazira. -Foto NSTP/Ihsan Pembaca.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Erra Fazira, 43, membuat keputusan untuk fokus sepenuhnya terhadap perniagaan pada tahun ini.

Erra berkata, melihatkan sambutan terhadap produknya seperti Rara Cookies dan tudung Rara By Erra Fazira yang menerima maklum balas memberangsangkan, beliau kini lebih bersemangat merancang pelbagai strategi untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

"Tahun ini saya mahu mengukuhkan perniagaan dan saya cukup gembira untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila dapat sama-sama turun padang untuk berniaga di mana-mana acara bazar atau festival yang kami sertai.

"Peminat juga tidak henti-henti memberi sokongan," katanya kepada BH Online.

Menurut Erra, antara sebab dirinya semakin ligat berniaga ialah ketika dikelilingi komuniti sama yang mempunyai pandangan luas mengenai bisnes dan sedia berkongsi pengalaman.

"Apabila berniaga, saya berkenalan dengan ramai peniaga lain dan mempelajari cara pemikiran mereka yang sangat berbeza.

"Ilmu saya berkaitan hal perniagaan masih kurang. Justeru, apabila bersama mereka, ia sekali gus membuatkan saya teruja untuk memikirkan apakah produk seterusnya perlu saya jual.

"Pada masa sama, saya sentiasa membuat perancangan secara konsisten, apakah produk yang akan dikeluarkan berikutnya. Alhamdulillah, sebagai orang baharu, saya turut menyertai beberapa kursus bagi memantapkan lagi ilmu perniagaan," ujarnya.

Mengenai kerjaya seni pula, Erra memberitahu beliau hanya akan berlakon sekiranya watak ditawarkan sesuai dengan dirinya, begitu juga dengan nyanyian.

"Jika ada lagu baharu bersesuaian, saya tidak menolak untuk merakamkannya sebab kalau setakat menyanyi balik lagu-lagu lama, saya kurang selesa. Kalau ada lagu baharu, pasti saya akan muncul," ujarnya.

Berita Harian X