Khamis, 19 Januari 2017 | 12:04am

Niaga #melurpunya untuk kutip pengalaman berharga

Tajuk: Niaga #melurpunya untuk kutip pengalaman berharga

meor.ahmad@bh.com.my

SHAH ALAM: Prospek cerah pasaran barangan kecantikan mendorong seorang mahasiswa sebuah universiti awam berniaga berus kosmetik berjenama sendiri, #melurpunya, secara dalam talian.

Hasirah Mohd Basar, 24, yang kini menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, mengorak langkah itu awal tahun lalu berikutan permintaan tinggi terhadap produk berkenaan dalam kalangan rakan kampus.

Berbekalkan modal RM250, beliau menawarkan 10 jenis berus untuk solekan bibir, kening, pipi, muka dan kelopak mata yang boleh membantu penampilan wajah lebih menarik.

"Penggunaan berus kosmetik dapat mempermudahkan bersolek, termasuk warna mekap akan lebih sekata.

Pendapatan bulanan


PROSPEK cerah pasaran barangan kecantikan mendorong Hasirah Mohd Basar berniaga berus kosmetik berjenama sendiri, #melurpunya, secara dalam talian. - Foto Faiz Anuar

"Berus ini juga boleh diguna untuk menghasilkan warna gabungan bedak dengan gincu yang dikehendaki pengguna.

"Alhamdulillah, saya memperoleh pendapatan bulanan hampir RM1,000 daripada jualan berus kosmetik ini," katanya ketika ditemui BH Plus, di sini.

Bagaimanapun, kesibukan berniaga tidak melalaikan Hasirah akan tanggungjawabnya pada pengajian dan aktiviti kokurikulum di kampus.

Sehubungan itu, beliau hanya menguruskan promosi stok berus secara dalam talian selepas kuliah, manakala perjumpaan dengan pelanggan pula diadakan pada waktu malam.

Ringankan beban


PELBAGAI jenis berus kosmetik jualan Hasirah. - Foto Faiz Anuar

Dalam pada itu, Hasirah turut gigih berniaga jaket lelaki dan wanita yang menjadi aliran gaya remaja serta orang dewasa ketika ini dengan menggunakan jenama #jebatpunya dan dijual pada harga antara RM55 hingga RM120.

Berkongsi pendapat, beliau berkata, mahasiswa yang ingin memulakan perniagaan perlu berani mencuba dan bersungguh-sungguh dalam sebarang bidang diceburi.

"Bagi saya secara peribadi, berniaga boleh membantu dalam banyak aspek, terutama memberi pengalaman berharga sebelum melangkah ke alam pekerjaan nanti, selain memperoleh duit poket bagi meringankan beban ibu bapa," katanya.

PROFIL

Hasirah Mohd Basar

Nama panggilan: Melur

Tarikh lahir: 1 Disember 1993

Tempat lahir: Muar, Johor

Pendidikan rendah: Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 5, Johor

Pendidikan menengah: Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar dan SMK Tengku Mahmud Iskandar, Johor

Pendidikan prauniversiti: Diploma Perbankan, UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat

Pengajian: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis, UiTM Kampus Puncak Alam

Antara pencapaian:

- Penolong Ketua Pengawas SK Serom 5

- Pelajar terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SMK Tengku Mahmud Iskandar

INFO

Berus kosmetik #melurpunya

  • Promosi melalui Facebook dan Instagram.
  • Berus kecil digunakan untuk solekan kening, kelopak mata dan pembayang mata.
  • Berus besar digunakan untuk solekan pemerah pipi, bedak asas dan bedak.
  • Dijual pada harga RM40 bagi 10 jenis berus.

HASIRAH menawarkan 10 jenis berus untuk solekan bibir, kening, pipi, muka dan kelopak mata yang boleh membantu penampilan wajah lebih menarik. - Foto Faiz Anuar
HASIRAH (kanan) menunjukkan cara bersolek menggunakan berus kosmetik #melurpunya. - Foto Faiz Anuar
HASIRAH (kiri) bersama model tutorial bersolek menggunakan berus kosmetik #melurpunya.
Berita Harian X