Khamis, 19 Januari 2017 | 10:51am

Graduan UTeM mudah dapat kerja


NAIB Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib. - Foto Nor Shafinaz Sari

MELAKA: Graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) didapati mudah mendapat pekerjaan dan menjadi pilihan majikan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata kajian kebolehpasaran graduan (GE) yang dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun lalu mendapati sebanyak 76.3 peratus diterima bekerja selepas menamatkan pengajian.

"Angka itu, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 10.1 peratus, berbanding tahun 2015.

"Data itu meliputi kebolehpasaran graduan dalam semua peringkat pengajian dengan pelajar pasca siswazah mencatatkan GE keseluruhan sebanyak 77.8 peratus, ijazah sarjana muda (74 peratus) dan diploma (93.2 peratus)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Shahrin berkata, pencapaian terbabit didorong faktor keyakinan pihak majikan, terutama sektor perindustrian terhadap kemampuan graduan UTeM yang kompeten dan sedia mahir.

"Ini membuktikan kemampuan universiti ini melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri serta dilengkapi ciri keusahawanan.

"Sehubungan itu, pihak UTeM akan terus memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pilihan utama pelajar melanjutkan pengajian di peringkat tinggi di negara ini," katanya.

Berita Harian X