Khamis, 19 Januari 2017 | 7:10pm

Itali kenduri gol belasah Hong Kong


PEMAIN Italy, Braconi Valentina (kanan) diasak pemain Hong Kong, Ho Ka Ki pada kejohanan Hoki Liga Dunia Wanita Pusingan Kedua 2017 yang diadakan di Stadium Hoki Tun Razak. -Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Tanpa masalah, pasukan pilihan Itali mudah menempah tiket separuh akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) apabila berkenduri gol membelasah Hong Kong 7-0 di Stadium Tun Razak, sebentar tadi.

Diibaratkan pertemuan buku dan ruas, Itali mudah memecahkan kubu Hong Kong apabila menjaringkan gol pada setiap empat suku perlawanan.

Dalam aksi sebentar tadi, Valentina Braconi terus membuktikan watak pemusnahnya apabila melakar hatrik pada minit kedua, 11 dan 56 untuk jaringan peribadi kesembilannya pada saingan ini.

Empat lagi gol disumbat Francesca Bendinelli (m-24), Chiara Tiddi (25), Dalila Mirabella (37) dan Eugenia Mastronardi (50).

Keputusan ini pasti menimbulkan rasa kurang senang kem skuad hoki wanita negara yang sedang bersiap untuk berdepan Thailand pada satu lagi aksi suku akhir tepat jam 8.30 malam ini.

Ini kerana jika skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah melepasi ranjau malam ini, Itali di kedudukan ranking ke-15 dunia bakal menjadi lawan yang menanti mereka pada pentas separuh akhir pada Sabtu ini.

Di atas kertas, Itali berada dalam kelas tersendiri dan dilihat sebagai calon juara selepas mengekalkan rekod bersih - tiga kemenangan peringkat kumpulan dan terbaru ketika mengatasi Hong Kong.

Sementara itu, Ireland juga tidak berdepan masalah mencatat kemenangan 10-0 ke atas Singapura dalam aksi sebelum itu dan pasukan Eropah itu kini menempah pertemuan separuh akhir pemenang perlawanan antara Wales dan Kazakhstan.

Hanya dua pasukan terbaik meraih tiket automatik ke saingan Separuh Akhir WHL yang diadakan menerusi dua edisi penganjuran - di Belgium dari 21 Jun hingga 2 Julai dan Afrika Selatan dari 8 hingga 23 Julai ini.

Sepanjang sejarah skuad wanita negara, belum pernah pasukan yang menduduki ranking ke-21 dunia itu layak beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, cabaran terakhir untuk mencari slot kelayakan ke Piala Dunia 2018.

Berita Harian X