Khamis, 19 Januari 2017 | 10:51pm

Thailand buat anak buah Dhaarma mandi peluh


PEMAIN Thailand, Tikhamporn Tongkham diasak pemain negara, Surizan Awang Noh (kanan) pada pertembungan suku akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Stadium Tun Razak, sebentar tadi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Thailand 3-0 pada pertembungan suku akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Stadium Tun Razak, sebentar tadi.

Meskipun di atas kertas segala-galanya tampak mudah buat Malaysia, namun tuan rumah terpaksa bergelut sebelum mengesahkan kemenangan menerusi jaringan lewat permainan Norazlin Sumantri dan Nuraini Rashid.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menempah pertemuan separuh akhir sukar berdepan pasukan pilihan Itali pada Sabtu ini.

Pada aksi itu, apa yang difikirkan Dhaarma sebelum ini menjadi kenyataan apabila Thailand tampil dengan taktikal bertahan meletakkan sembilan pemain di dalam kubu sendiri sehingga menyaksikan hanya satu percubaan berbahaya dihasilkan pemain negara, Nuraslinda Said pada suku pertama.

Suku kedua menyaksikan anak buah Dhaarma meningkatkan tempo serangan namun dihampakan penyudah tumpul Wan Norfaiezah Saiuti pada minit ke-26 dan Fazilla Sylvester Silin (m-29).

Malah, Malaysia nyaris dikejutkan dengan jaringan pembukaan skuad Gajah Putih itu apabila kegagalan Nuraini membuang bola ketika suku kedua berbaki lima saat menyebabkan pelawat dihadiahkan pukulan sudut penalti tetapi ia berjaya dihalang.

Akibat buntu dalam mencari gol, tuan rumah yang tertekan mula bermain dengan tidak teratur termasuk banyak melakukan kesilapan hantaran yang membawa kepada hilangnya penguasaan bola.

Malaysia akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-38 apabila Siti Nur Amarina Ruhani yang juga kapten pasukan tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti kedua yang dihadiahkan untuk melepaskan rembatan yang gagal ditepis penjaga gol Siraya Yimkrajang.

Ketika permainan seakan berakhir dengan keputusan 1-0, Norazlin dan Nuraini menutup persembahan hambar pasukan dengan gol pada minit ke-56 dan 59.

Keputusan

Suku akhir

Ireland...10 Singapura...0

Itali...7 Hong Kong...0

Wales...2 Kazakhstan...1

Malaysia...3 Thailand...0

Jadual esok

Klasifikasi 5/8

Hong Kong mln Thailand, 6.15ptg

Kazakhstan mln Singapura, 8.30mlm

Sabtu

Separuh akhir

Wales mln Ireland, 6.15ptg

Malaysia mln Itali, 8.30mlm

(Semua perlawanan di Stadium Tun Razak)

Berita Harian X