Jumaat, 20 Januari 2017 | 12:49pm

Aksi atasi Thailand semalam adalah terbaik - Dhaarma


JURULATIH pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah menyifatkan persembahan pasukannya ketika mencatat kemenangan 3-0 ke atas Thailand semalam sebagai yang terbaik pernah dipamerkan dalam saingan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) 2017.

Walaupun buntu dalam merobohkan kekebalan pintu gol lawan pada 30 minit pertama aksi suku akhir itu, namun jurulatih kelahiran Melaka itu percaya ia tidak bermakna pemainnya beraksi dengan hambar.

"Jika anda fikir persembahan kami pada hari ini (semalam) tidak bagus, saya langsung tidak bersetuju... Saya merasakan ini antara persembahan terbaik diperagakan pemain saya.

"Mereka (pemain) berjuang sepenuh jiwa tetapi ia menjadi sukar kerana mereka takut untuk ketinggalan 1-0 pada aksi kalah mati seperti ini. Kami sedar Thailand menunggu kami membuat kesilapan sebab itu kami bermain berhati-hati.

"Jadi anda tidak hanya boleh bercakap mengenai persembahan baik, bagi saya ia satu persembahan lebih baik berbanding ketika menang 13-1 ke atas Kazakhstan kerana kami bermain untuk mencari kemenangan dengan menyerang mereka sejak dari awal permainan," kata Dhaarma.

Pada aksi 'berat sebelah' di Stadium Tun Razak itu, skuad Malaysian Tigress di kedudukan ranking ke-21 dunia memerlukan jaringan pembukaan pukulan sudut penalti Siti Nur Amarina Ruhani pada minit ke-38 untuk mula beraksi dengan lebih tersusun.

Sebelum itu, anak-anak buah Dhaarma tampak mula tertekan dan gopoh dalam mencari gol gara-gara kebuntuan idea memasuki kawasan D Thailand yang - turun dengan taktikal bertahan - meletakkan sembilan pemain di dalam kawasan sendiri.

Kehadiran gol pembukaan itu menyaksikan skuad negara kembali dengan corak permainan 'normal' dan hasilnya berjaya menambah dua gol pada tiga minit terakhir menerusi Norazlin Sumantri dan Nuraini Rashid.

Dhaarma berkata: "Jika kami mendapat gol awal pada suku pertama mungkin ia menjadi lebih mudah dan lebih memburukkan keadaan kami tidak mendapat sebarang pukulan sudut penalti pada dua suku pertama.

"Tetapi apabila Amarina menjaringkan gol situasi perlawanan menjadi sedikit berbeza dengan lawan mula keluar daripada kawasan sendiri untuk mencari gol."

Dalam pada itu, Dhaarma turut berharap sokongan 'pemain ke-12' mampu membakar semangat pemainnya apabila turun membuat perhitungan dengan Itali pada pertemuan separuh akhir, esok.

Berita Harian X