Jumaat, 20 Januari 2017 | 1:06pm

Peluang Spurs tunjuk belang jumpa City


MAURICIO Pochettino. - Foto EPA

LONDON: Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino mahu anak buahnya menunjukkan keupayaan mereka bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila bertemu Manchester City malam esok.

Tottenham melonjak ke tangga kedua hujung minggu lalu selepas menewaskan West Bromwich Albion 4-0 dan dalam pemburuan merakam kemenangan liga ketujuh berturut-turut buat pertama kali sejak tahun 1967.

City sebaliknya tewas dengan keputusan sama di Everton, tetapi Pochettino lebih bimbangkan jurang tujuh mata dengan pendahulu, Chelsea berbanding beza enam mata yang mampu dilebarkan ke atas City kendalian Pep Guardiola.

"Kami perlu cuba menunjukkan yang kami mampu menjadi pesaing sebenar kejuaraan EPL," kata Pochettino hari ini.

"Itu cabaran sebenar. Ia lebih penting untuk kami membuktikan keupayaan kami daripada memikirkan tentang Manchester City.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Saya rasa apabila bertemu pasukan seperti Manchester City, anda perlu memberikan yang terbaik.

"Cabaran kami ialah cuba untuk mendapatkan tiga mata. Tetapi terlalu awal untuk memperkatakan tentang perlawanan penentuan, mata penentuan kami. Masih banyak yang perlu diharungi." - AFP

Berita Harian X