Jumaat, 20 Januari 2017 | 7:13pm

Dhaarma gembira Itali jangka Malaysia Tigress lemah

KUALA LUMPUR: Pasukan Itali yang belum benar-benar diuji pasti membawa kelebihan kepada skuad hoki wanita negara, apabila turun dalam pertembungan separuh akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di Stadium Tun Razak, malam esok.

Secara realistiknya, kedudukan ranking nombor 21 dunia milik Malaysia Tigress, jauh ketinggalan berbanding pasukan pilihan Itali yang menghuni tempat ke-15 dunia.


JURULATIH pasukan hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah. - Foto BERNAMA

Bagaimanapun, ketua jurulatihnya, Dhaarma Raj Abdullah enggan mengambil pusing kelebihan ranking yang dimiliki pasukan kendalian Roberto Carta itu kerana percaya anak-anak buahnya mempunyai ramuan untuk melakar kejutan.

"Sebenarnya kelebihan lebih memihak kepada kami... ini kerana setakat ini Itali mengutip kemenangan dengan mudah tanpa perlu berdepan kesukaran.

"Tidak seperti kita yang perlu beraksi menentang Ireland dan saya percaya pertemuan melawan Malaysia adalah aksi sukar pertama buat Itali, malah saya gembira sekiranya mereka fikir kita bukan lawan yang kuat," katanya.

Skuad Malaysia Tigress mara ke separuh akhir selepas berjaya mengatasi Thailand 3-0 pada aksi suku akhir semalam dan mereka kini tiada pilihan selain menumbangkan Itali esok untuk meraih dua tiket automatik ke pusingan Separuh Akhir WHL pada Jun depan.

Jelas pengendali kelahiran Melaka itu, dia akan mengarahkan anak didiknya turun dengan pendekatan corak serangan 'kamikaze' sama seperti ketika menundukkan Kazakhstan 13-1 dalam aksi terakhir kumpulan.

"Kami memang sudah bertekad dalam aksi peringkat kalah mati kami akan berjuang bermati-matian... kami sudah tidak fikir apa yang akan berlaku, yang pasti kami mahu keluar dari perlawanan dengan kemenangan.

"Jika kami turun dengan taktikal bertahan pasti mereka akan mengasak kubu kami habis-habisan kerana Itali mempunyai keupayaan untuk menyerang dengan baik."

Jadual

Esok

Separuh akhir

Wales mln Ireland, 6.15ptg

Malaysia mln Itali, 8.30mlm

(Semua perlawanan di Stadium Tun Razak)

Berita Harian X