Jumaat, 20 Januari 2017 | 9:22pm

AFC gantung Timor Leste

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menggantung Timor Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo, didapati memalsukan dokumen bagi kewarganegaraan pemain Timor Leste.

AFC, dalam kenyataan hari ini, menyatakan hasil siasatan Jawatankuasa Disiplin mendapati 12 pemain kelahiran Brazil didaftarkan dengan sijil kelahiran dan pembaptisan palsu untuk beraksi bersama pasukan Timor Leste dalam pelbagai perlawanan bola sepak.

"Tiada sebarang bukti bagi mengesahkan kewarganegaraan pemain di Timor Leste, maka jawatankuasa berkenaan mengarahkan Amandio digantung daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama tiga tahun dan didenda AS$9,000 (RM40,000)," menurut AFC.

Jawatankuasa itu juga memutuskan untuk tidak membenarkan Timor Leste menyertai Piala Asia 2023 dan didenda AS$20,000 (RM89,000).

Pegawai FFTL, Gelasio De Silva Carvalho pula didenda AS$3,000 (kira-kira RM13,000) selepas jawatankuasa itu mendapati beliau bersalah kerana cuba mengganggu saksi (pemain-pemain Timor Leste).

AFC mendakwa pemain-pemain Timor Leste itu telah beraksi sebanyak 29 perlawanan anjuran AFC dan tujuh perlawanan yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Justeru, AFC menyatakan semua keputusan perlawanan di tempat sendiri dan lawan membabitkan Timor Leste menentang Malaysia dalam aksi 'play-off' Kelayakan Piala Asia 2019 pada 2 dan 6 Jun tahun lalu dan tiga perlawanan terdahulu pada 2015, dibatalkan.

AFC juga meminta FIFA melanjutkan hukuman terhadap Amandio daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan bola sepak di seluruh dunia, dan memaklumkan bahawa FFTL telah menyenaraikan pemain yang tidak memenuhi syarat pada tujuh perlawanan anjuran FIFA.

China dan Korea Selatan dilaporkan berminat menjadi tuan rumah Piala Asia 2023. - BERNAMA

Berita Harian X