Sabtu, 21 Januari 2017 | 8:06am

100 militan terkorban dalam serangan udara di Syria

WASHINGTON: Serangan udara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, yang menyasarkan kem latihan al-Qaeda di wilayah Idlib, Syria, mengorbankan lebih 100 militan, kata Pentagon dalam satu kenyataan, semalam.

Serangan dilancarkan sehari sebelum pentadbiran bekas Presiden Barack Obama berakhir serta bermulanya era Presiden Donald Trump dan sehari selepas lebih 80 militan Daesh maut dalam serangan udara AS di Libya.

"Kemusnahan kem latihan mengganggu operasi latihan dan menghalang militan serta kumpulan pembangkang Syria daripada menyertai atau bekerjasama dengan al-Qaeda di medan perang," kata jurucakap Pentagon, Kapten Jeff Davis.

Davis berkata, kem latihan Shaykh Sulayman beroperasi sejak 2013.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, lebih 150 militan al-Qaeda maut dalam serangan udara Amerika.

Sementara itu, seorang pegawai yang enggan dikenali, berkata serangan itu dilakukan pesawat pengebom B-52 dan pesawat kawalan jauh yang menggugurkan 14 bom.

Tiada orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.

Pasukan tentera antarabangsa diketuai AS melancarkan serangan udara dan menyokong tentera Syria untuk menghapuskan Daesh.

Bagaimanapun, ada kebimbangan kekalahan Daesh akan membuka pintu bagi al-Qaeda untuk mengambil alih wilayah tidak ditadbir di negara itu.

Dalam pada itu, pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) semalam, melaporkan serangan udara mengorbankan lebih 40 anggota kumpulan Jabhat Fateh al-Sham di barat laut Syria. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X