Sabtu, 21 Januari 2017 | 1:47pm

Trump didakwa 'taksub' terhadap Kristen Stewart


KRISTEN Stewart. - Foto AFP

UTAH: Bintang 'Twilight', Kristen Stewart, 26, semalam mendakwa Donald Trump 'taksub ' terhadapnya selepas Presiden AS itu menghantar beberapa siri tweet kepada pelakon itu pada 2012.

Dalam tweet itu, Trump dilaporkan mengkritik Stewart kerana berlaku curang kepada teman lelakinya, Robert Pattinson.

Ketika itu, Pattison adalah teman lelaki Stewart di dalam dan di luar filem.

Ia adalah reaksi pertama pelakon berkenaan terhadap kritikan Trump yang ketika itu masih menjadi bintang realiti dalam rancangan 'The Celebrity Apprentice.'

"Beliau marahkan saya beberapa tahun lalu, amat taksub kepada saya ketika itu dan ia memang pelik," kata Stewart kepada majalah hiburan Variety di Park City, di sini, sempena Festival Filem Sundance.

Trump yang baru mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat semalam memuat naik lima tweet mengenai pasangan itu pada Oktober dan November 2012.

Tweet itu dihantar selepas Stewart dilaporkan curang kepada Pattison kerana menjalinkan hubungan dengan pengarah 'Snow White and the Huntsman', Rupert Sanders.

Apabila gambar mereka berpelukan tersebar, Stewart terpaksa meminta maaf atas 'kelukaan dan keaiban' yang ditimbulkan oleh tindakan kurang bijaknya itu.

"Robert Pattinson tidak sepatutnya menerima semula Kristen Stewart. Dia curang seperti anjing dan akan melakukannya lagi - lihatlah. Pattinson boleh lakukan yang lebih baik," menurut tweet Trump pada 17 Oktober 2012.

Pada hari berikutnya Trump mendedahkan bahawa beliau yakin: "100 peratus pasti Stewart akan curang lagi" dan menambah: "Pernahkah saya salah?"

Pada 22 Oktober tahun yang sama, beliau merayu Pattinson supaya meninggalkan Stewart: "Dalam masa beberapa tahun lagi, dia akan berterima kasih kepada saya. Jadi bijak, Robert."

Pasangan itu kekal bersama sehingga Mei 2013, sebulan selepas tweet terakhir Trump mengenai Stewart, sambil mengucapkan selamat hari jadi kepada pelakon itu.

"Pada ketika itu, beliau (Trump) memang seperti bintang realiti. Jadi, saya tidak anggap ia sesuatu yang besar," kata Stewart kepada wartawan majalah Variety, Elizabeth Wagmeister.

Pelakon yang berasal dari Los Angeles itu terkenal dengan watak Bella Swann dalam filem trilogi berkisarkan kisah pontianak itu. - AFP

Berita Harian X