Sabtu, 21 Januari 2017 | 10:43pm

Malaysia cipta kejutan ke final


PEMAIN Malaysia, Hanis Onn (tiga dari kiri) meraikan jaringan gol ke dua dan penyamaan bersama rakan pasukan ketika menentang Itali pada aksi separuh Pusingan Ke 2 Liga Dunia Hoki Wanita 2017 di Stadium Tun Razak. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara melakar kejutan terbesar apabila buat kali pertama melangkah ke pentas final Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL), menewaskan pasukan pilihan Itali 2-1 menerusi penentuan penalti, sebentar tadi.

Penjaga gol Farah Ayuni Yahya muncul wira negara apabila menyelamatkan lima pukulan penalti Itali selepas perlawanan masa sebenar terikat 2-2 di Stadium Tun Razak itu.

Pujian juga harus diberikan kepada Fatin Shafika Sukri yang berjaya mengawal perasaan gementar untuk menjaringkan gol penalti kemenangan itu selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada lima penalti pertama.

Bagaimanapun, Malaysia Tigress akan berdepan tugas sukar pada final esok apabila dipertemukan dengan satu lagi pasukan pilihan Ireland yang menewaskan Wales 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir sebelum itu.

Lebih bermakna, ia adalah kali pertama Malaysia Tigress melayakkan diri ke pentas final Pusingan Kedua WHWL sekali gus meraih tiket automatik ke pusingan Separuh Akhir di Belgium atau Afrika Selatan pada Jun ini.

Pentas separuh akhir itu menjadi landasan terakhir yang perlu dihadapi skuad bimbingan Dhaarma Raj Abdullah dalam usaha melayakkan diri ke Piala Dunia 2018. Malaysia belum pernah layak ke Piala Dunia sejak kali pertama kejohanan itu diperkenalkan pada 1974.

Pada aksi malam tadi, skuad bimbingan Dhaarma Raj dikejutkan jaringan padang seawal minit ke-10 Maria Garraffo, namun kelebihan itu hanya bertahan selama tiga minit apabila penyerang negara, Fazilla Sylvester Silin kembali mengikat kedudukan 1-1 menerusi pukulan sudut penalti.

Tiga minit berselang suku kedua, kesilapan Siti Shahida Saad yang 'menghadiahkan' pukulan sudut penalti kepada Itali berjaya disudahkan Agata Wybieralska tetapi Malaysia sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Hanis Nadiah Onn (m-26).

Keputusan

Ireland...2 Wales...0

Malaysia...2 Itali...2 (Malaysia menang 2-1 menerusi penalti)

Berita Harian X