Sabtu, 21 Januari 2017 | 11:51pm

Mat Yo bantu FELDA raih tiga mata


PEMAIN FELDA United, Norshahrul Idlan Talaha diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan pada aksi Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Tun Abdul Razak, malam ini. - Foto BERNAMA

MARAN: FELDA United memulakan kempen Liga Super musim ini dengan langkah kanan selepas menang tipis 1-0 ke atas PKNS di Stadium Tun Abdul Razak, di sini, malam tadi.

Gol kemenangan skuad The Fighters itu dijaringkan bekas penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo pada minit ke-68 hasil rembatan leret menewaskan penjaga gol PKNS, Muhamad Nor Haziq.

FELDA yang dibimbing Azmi Mohamed bermula garang apabila kerap melancarkan serangan pada babak pertama menerusi gandingan penyerang import mereka, Zah Rahan Krangar dan Lucas Matias Cano.

Usaha mereka berhasil apabila berjaya memperoleh sepakan penalti pada minit ke-24 selepas Norshahrul dikasari di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Lucas gagal menyempurnakan sepakan itu selepas tendangannya ke sebelah kanan gawang berjaya diselamatkan Muhamad Nor.

PKNS yang dibarisi beberapa muka baharu turut mempunyai peluang di babak pertama termasuk dua percubaan bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Safee Sali yang hanya melewati palang gol.

Bersambung di babak kedua, FELDA United memasukkan Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri bagi menggantikan Lucas.

Percaturan itu ternyata menjadi apabila Mat Yo berjaya meledak gol tunggal perlawanan hasil gerakan cantik daripada bahagian tengah. Keputusan kekal sehingga ke wisel penamat untuk membolehkan tuan rumah meraih tiga mata penuh dalam aksi pertama musim ini.

Berita Harian X