Ahad, 22 Januari 2017 | 11:15am
JURULATIH pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. - Foto BERNAMA

Malaysia Tigress bukan standard Sukan SEA lagi

KUALA LUMPUR: Bagaikan 'melepaskan geram' yang sudah lama terbuku, Dhaarma Raj Abdullah meluahkan betapa pasukan hoki wanita negara turut memiliki kualiti setanding pasukan lelaki.

Kata-kata pengendali skuad Malaysia Tigress itu ada benarnya, apatah lagi dengan kejayaan terbaru mereka menyambar tiket automatik ke pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) Jun ini, sekali gus mencerahkan peluang ke Piala Dunia 2018 di London.

Semalam, skuad wanita negara berjaya menumbangkan jaguh nombor 15 dunia, Itali 2-1 menerusi penentuan penalti pada aksi separuh akhir Pusingan Kedua WHL untuk menempah pertemuan final menentang Ireland, hari ini.

"Ia bukan satu perjalanan yang mudah buat kami, pelbagai kesukaran kami perlu harungi sejak setahun lalu dengan ramai yang memandang rendah kemampuan kami.

"Setakat cop (melabelkan) kami sebuah pasukan standard Sukan SEA tidak mengapa tetapi ada juga yang ketawa apabila kami memasang impian untuk ke Piala Dunia 2018.

"Paling meninggalkan kesan ketika kami pergi ke China bagi menghadapi lima siri persahabatan di sana apabila mereka 'menghina' dengan menurunkan pasukan remaja mereka... di Jepun juga sama.

"Tetapi kini kami mengubah segala-galanya biarpun sebelum ini tumpuan lebih terarah kepada skuad lelaki saja," kata Dhaarma ketika diminta berkongsi antara detik sukar terpaksa ditempuhinya sejak mengambil alih pasukan itu pada Januari 2015.

Apapun keputusan pertemuan final malam ini, kejayaan mara ke final sudah cukup untuk memberi sinar baharu kepada arena hoki wanita negara yang dianaktirikan sebelum zaman kepimpinan Datuk Seri Subahan Kamal (Presiden Konfederasi Hoki Malaysia).

"Pujian juga perlu diberikan kepada barisan pengurusan tertinggi MHC ketika ini yang banyak membantu pasukan sejak tahun lalu seperti Datuk Seri Subahan, Datuk Ow Soon Kooi dan Dr S Shamala.

"Tidak ketinggalan Ketua Eksekutif MHC K Logan Raj yang berusaha memastikan kita dapat ke luar negara untuk pendedahan," katanya.

Berita Harian X