KANGAR: Ketika dunia semakin beralih kepada alam digital untuk mengakses pelbagai maklumat, siapa sangka masih ada individu yang terus berpegang kepada amalan bersifat tradisi untuk tujuan itu.
Abdul Rahim Che Mohd Noor, 53, antara individu yang tergolong dalam kumpulan itu apabila memiliki hobi unik gemar menyimpan keratan akhbar lama sebagai bahan rujukan.
Mengakui kurang yakin dengan kesahihan fakta di internet, tukang besi dari Kaki Bukit, di sini, berkata ketepatan fakta yang dipaparkan dalam akhbar utama yang dilanggani menguatkan semangat beliau untuk terus komited dengan hobi itu sejak 1995.
Bapa kepada lapan anak berusia antara 16 hingga 35 tahun itu, memiliki koleksi keratan akhbar tersendiri meliputi pelbagai insiden dan maklumat penting yang dipaparkan akhbar utama negara sejak lebih 20 tahun lalu.
Selain berita mengenai tokoh dan pemimpin tertentu di peringkat negeri dan negara, keratan akhbar turut meliputi pelbagai segmen termasuk kepemimpinan, kesihatan, seni budaya dan banyak lagi.
Abdul Rahim mengakui masyarakat kini lebih gemar merujuk internet sebagai sumber fakta, menyebabkan ilmu yang cukup berguna dipaparkan akhbar harian yang dibeli diketepikan walaupun ramai yang menyedari hakikat itu.
"Kita ambil contoh dalam soal kesihatan. Setiap hari pasti di dada akhbar terpampang pelbagai maklumat, amaran serta penjagaan mengenai penyakit yang diuar-uarkan dan ini semua cukup berguna.
"Saya secara peribadi kurang yakin dengan fakta di internet mengenai isu sedemikian untuk dijadikan rujukan. Sebab itu saya cenderung menyelak keratan akhbar disimpan untuk dirujuk kerana pada saya ia lebih sahih dan meyakinkan," katanya.
Ditanya mengenai hobi unik itu, Abdul Rahim berkata, setiap hari beliau membeli tujuh akhbar berbeza berbahasa Melayu dan Inggeris, sebelum helaian akhbar dipotong kepada beberapa segmen tertentu untuk ditampal pada buku khas mengikut kategori.
"Mungkin ramai yang melihat hobi saya ini sebagai lapuk, namun saya cukup gembira apabila ada yang sanggup datang sejauh Melaka untuk melihat keratan akhbar mengenai seni keris yang ada dalam simpanan saya. Ia menunjukkan hobi saya ini tidak sia-sia," katanya.
Mengenai keratan lain dikumpulkan, beliau berkata antaranya meliputi berita perjalanan politik Datuk Seri Mukhriz Mahathir bermula dari zaman pembabitan dalam Pemuda UMNO sehingga diangkat ke Kabinet, kemudian dilantik sebagai Menteri Besar Kedah dan kini keluar daripada UMNO.
Selain itu, beliau berkata kisah perjalanan karier Datuk Seri Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis yang bermula penuh kontroversi dan kini penggantinya, Datuk Seri Azlan Man, juga ada dalam koleksi beliau.
"Saya juga ada simpan banyak lagi keratan akhbar mengenai tokoh negara seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Keratan akhbar mengenai mereka berdua terlalu banyak dan sekarang ini era pemerintahan Datuk Seri Najib, setiap hari pasti ada keratan yang perlu disimpan walaupun tujuh akhbar melaporkan perkara sama," katanya.
Abdul Rahim ketika ditanya sedia berkongsi koleksi dimilikinya itu dengan orang ramai, malah menyimpan hasrat untuk membuka galeri khusus untuk menempatkan koleksinya itu sebagai rujukan.
"Saya sedang mengumpul modal untuk membuka galeri dan jika mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, saya ingin namakan galeri itu dengan nama Baginda.
"Saya memilih nama Tuanku Raja Muda kerana saya turut menyimpan banyak keratan mengenai Baginda. Untuk individu lain saya tampal keratan akhbarnya di buku, namun keratan mengenai Raja Muda Perlis saya mahu letakkan di dinding galeri apabila ia siap kelak," katanya.
INFO
- RM10 diperuntukkan sehari untuk membeli 7 akhbar berbeza.
- Koleksi disimpan dalam almari bagi mengelak ia rosak.
- Sedih melihat keratan akhbar terutama segmen kesihatan hanya dijadikan pembungkus.
- Hanya keratan berita hiburan dan sukan tidak disimpan.