Isnin, 23 Januari 2017 | 2:46am
PEMAIN Chelsea, Gary Cahill meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Hull City di Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto Reuters

Chelsea garang benam Hull City


PENYERANG Chelsea, Diego Costa (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika bertemu Hull City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto Reuters

LONDON: Chelsea terus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam Hull City 2-0 di Stamford Bridge, sebentar tadi.

Penyerang kontroversi, Diego Costa yang tersisih ketika pertemuan dengan Leicester, minggu lalu menjaringkan gol pertama Chelsea pada masa kecederaan babak pertama.

Ketika perlawanan separuh masa pertama itu tampak berakhir tanpa sebarang jaringan, Costa membuktikan ketajamannya apabila tidak mensia-siakan hantaran Victor Moses.

Chelsea terus menguasai permainan pada babak kedua namun gol kedua hanya diperoleh pada minit ke-81 selepas beberapa peluang gagal menemui penyudah.

Berpunca daripada sepakan percuma Cesc Fabregas, Gary Cahill mencetak namanya selaku penjaring menerusi tandukan sekali gus menghadiahkan Chelsea tiga mata penuh di laman sendiri.

Kemenangan menyaksikan Chelsea melebarkan jurang kepada lapan mata di puncak liga dengan Costa menambah jumlah golnya dalam liga pada musim ini kepada 15. - Agensi

Berita Harian X