Isnin, 23 Januari 2017 | 6:42pm

KPTM bantu pelajar yatim piatu

KUALA LUMPUR: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) akan menyalurkan bantuan kepada seorang pelajarnya yang kehilangan ibu bapa akibat denggi, minggu lalu.


PENGERUSI Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Datuk Ahmad Nazlan Idris. - Foto Nik Abdullah Nik Omar.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata Nur Hidayah Azlan, 20, akan dibantu menerusi inisiatif Sehati Sejiwa.

"Wakil pengurusan KPTM Ipoh sudah menziarahi pelajar ini di rumah keluarganya. Kami mahu pelajar yang dilanda kesusahan berasa dihargai. 

"Seluruh pengurusan dan warga KPTM turut berdukacita dengan berita kematian ibu bapa pelajar berkenaan.

"Kita harap Nur Hidayah dan adik-adiknya menguatkan semangat menghadapi dugaan ini dan KPTM akan cuba membantu bagi meringankan beban ditanggung,

"Saya sendiri akan menziarahi pelajar ini bagi menyampaikan sumbangan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nur Hidayah yang juga pelajar semester enam jurusan Diploma Multimedia berkata, bapanya, Azlan Mat Din, 50, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selama empat hari sebelum meninggal dunia pada 16 Januari.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, ibunya Normah Amirudin, 46, pula meninggal dunia sehari kemudian di hospital sama, sekali gus membuatkan mereka hilang tempat  bergantung dalam sekelip mata.

Berita Harian X