Isnin, 23 Januari 2017 | 8:17pm
SUSPEK warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di ibu negara, pada 19 Januari lalu.
SUSPEK warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di ibu negara, pada 19 Januari lalu.

4 ditahan, sel baharu Daesh dikesan


SUSPEK warga Filipina dan kekasihnya ditahan dalam serbuan di Kota Kinabalu, Sabah, pada 13 Januari lalu.

KUALA LUMPUR: Satu sel baharu kumpulan pengganas Daesh yang dipercayai digerak untuk merekrut ahli dalam kalangan warga Indonesia, Bangladesh dan Rohingya tumpas selepas digempur Cawangan Khas, Bukit Aman.

Dalam dua serbuan berasingan di Kota Kinabalu dan ibu negara, Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, menahan seorang lelaki warga Filipina, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan sejak 13 Januari hingga 19 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata lelaki Filipina berusia 31 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu bersama wanita dipercayai kekasihnya berusia 27 tahun yang berasal dari Selangor.

Suspek wanita itu dikesan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Kinabalu pada 13 Januari lalu.

"Suspek lelaki Filipina ini yang juga seorang penjual jam, adalah ahli Daesh pimpinan Dr Mahmud Ahmad, bekas pensyarah sebuah universiti awam yang menyertai Daesh di selatan Filipina.

"Suspek yang berbaiah dengan Mahmud itu diarah merekrut dan mengatur penyusupan masuk anggota baharu dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya ke selatan Filipina untuk menyertai Daesh di Marawi City, Mindanao," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khalid berkata, pasangan itu dipercayai merancang untuk ke Sandakan sebelum menyusup masuk ke selatan Filipina bagi menyertai Mahmud yang kini bergabung dengan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) pimpinan Isnilon Hapilon.

"Susulan siasatan ke atas dua suspek itu pada 19 Januari lalu, polis menahan dua jurujual warga Bangladesh, berusia 27 dan 28 tahun, dipercayai mempunyai hubungan dengan jaringan kumpulan pengganas Daesh di negara mereka.

"Kedua-duanya yang direkrut oleh suspek utama, turut merancang menyertai Daesh pimpinan Mahmud," katanya.

Khalid berkata, siasatan mendapati Mahmud dan ASG berbaiah dengan pemimpin utama Daesh, Abu Bakar Al Baghdadi, dan merancang menjadikan Sabah lokasi transit anggota kumpulan pengganas dari rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan sebelum ke Filipina.

Berita Harian X