Selasa, 24 Januari 2017 | 12:01am

Juara Lagu hadiah anak sulung - Adi 6ixth Sense

KETIKA nama komposer berusia 22 tahun, Natasyah Ahmad, diumumkan sebagai pemenang utama Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31, Ahad lalu, mungkin ramai yang tidak mengenali siapa gerangan wanita berkenaan.

Maklum saja, dirinya masih begitu baharu di bidang ciptaan. Justeru, kejayaan diraih menerusi lagu Lelaki Teragung yang dinyanyikan Dayang Nurfaizah dan lirik tulisan Iman Imran itu turut mengejutkan banyak pihak, termasuk suaminya sendiri, Adi 6ixth Sense.

Adi atau nama penuhnya Adi Priyo Sambono ketika ditemui BH selepas acara kemuncak itu berakhir mengaku tergamam saat nama isterinya diumumkan sebagai pemenang.

"Saya anggap ia rezeki anak sulung kami yang bakal dilahirkan nanti. Saya memang tidak menyangka dengan kejayaannya, dan saya tumpang gembira.

"Terkedu juga apabila mendengar namanya diumumkan sebagai pemenang utama. Walaupun perjuangannya masih baharu, dia boleh buktikan usahanya mampu membawa kejayaan.


ADI bersama isterinya Natasyah bersama trofi kemenangan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31, Ahad lalu.

DAYANG Nurfaizah, Komposer Natasyah dan pencipta lirik Iman Imran dengan lagu Lelaki Teragung dinobatkan Juara pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 di PWTC. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

"Saya yang sudah 10 tahun berada di arena ciptaan lagu ini pun belum pernah menang. Dia pula, sekali saja mempertaruhkan lagu ini, terus berjaya. Terima kasih Allah atas keberkatan rezeki ini. Saya tabik pada isteri sendiri, kerana dia dikira handal apabila sudah menang pada awal kerjayanya," kata Adi.

Penyanyi yang juga seorang komposer itu turut menganggap rezeki terbabit sebahagian daripada keberkatan perkahwinan mereka. Pasangan itu berkahwin pada 3 Disember 2015 di Jawa Timur, Indonesia. Ketika ini, Natasyah sedang hamil empat bulan.

"Alhamdulillah rezeki kami bertambah. Ramai orang yang cakap, kahwin dulu baru rezeki akan datang. Kini ia terbukti," katanya yang bersyukur apa saja jantina anak bakal disambut mereka nanti.

Adi berkata, selain Lelaki Teragung, ada beberapa lagi lagu yang dicipta oleh Natasyah.


ADI atau nama sebenar Adi Priyo, penyanyi utama 6ixth Sense, bersama isteri Natasyah Annes Ahmad. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

ADI atau nama sebenar Adi Priyo Sambodo, penyanyi utama 6ixth Sense. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

"Isteri saya ialah suri rumah sepenuh masa, tetapi berbakat menghasilkan lagu. Dia mencipta lagu sebagai aktiviti mengisi masa lapangnya. Saya pula hanya membantu mencantikkan melodi yang dihasilkan.

"Setakat ini, sudah lebih lima lagu yang kami hasilkan bersama. Saya ada juga memberikan lagu sendiri untuk dinyanyikan oleh Dayang, tetapi tuah nampaknya lebih menyebelahi isteri.

"Jujur hingga saat ini, saya masih tidak menyangka dia akan sampai ke tahap ini, termasuk menyertai anugerah berprestij AJL," katanya.

Dedah Adi, pada asalnya isterinya hanya mencuba bidang ciptaan lagu sekadar suka-suka.

"Sebagai suami, saya akan menyokong apa saja yang dilakukannya. Kebetulan, dia berkahwin dengan komposer, jadi saya bantu apa yang patut. Natasyah sendiri rajin bertanya.


ADI atau nama sebenar Adi Priyo, penyanyi utama 6ixth Sense, bersama isteri Natasyah Annes Ahmad. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

"Pada mulanya, saya sendiri menyangka lagu Lelaki Teragung hanya bersifat biasa. Tetapi akhirnya ia menjadi luar biasa," ujarnya.

Adi juga berkata, pernah terjadi ketika ideanya tersekat, isterinya pula yang mendapat ilham mencurah-curah.

"Dalam hal ini, dia melengkapi kreativiti saya. Saya harap AJL akan terus menjadi pembakar semangat untuk dia lebih serius dalam dunia komposisi lagu," katanya.

INFO

  • Adi anggap kemenangan isteri rezeki anak sulung yang bakal dilahirkan.

  • Natasyah suri rumah sepenuh masa, tetapi berbakat menghasilkan lagu - Adi

  • Natasya melengkapi krativiti saya sebagai penggubah lagu - Adi
206 dibaca
ADI atau nama sebenar Adi Priyo, penyanyi utama 6ixth Sense, bersama isteri Natasyah Annes Ahmad. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
ADI atau nama sebenar Adi Priyo Sambodo, penyanyi utama 6ixth Sense. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
DAYANG Nurfaizah, Komposer Natasyah dan pencipta lirik Iman Imran dengan lagu Lelaki Teragung dinobatkan Juara pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 di PWTC. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Berita Harian X