Selasa, 24 Januari 2017 | 11:28am

Zulfahmi enggan terlalu mengharap 'habuan Moto2'


PENUNGGANG negara di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Zulfahmi Khairuddin. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Penunggang negara di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Zulfahmi Khairuddin enggan terlalu menaruh harapan dengan 'habuan' yang bakal diterimanya andai mampu menamatkan musim ini di kelompok lima terbaik dalam kelas Supersport.

Sebelum ini, bekas penunggang Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia itu ditawarkan 'tiket' untuk kembali beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia 2018 (MotoGP) sekiranya mencapai sasaran pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Dan sekiranya mampu direalisasikan, penunggang pasukan Orelac Racing itu bakal membuat kemunculan pertamanya beraksi dalam kelas Moto2 di perlumbaan berprestij dunia berkenaan, tahun depan.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menilai prestasi Zulfahmi, apatah lagi perlumbaan pertama musim 2017 hanya akan membuka tirainya di Litar Phillip Island pada 24 hingga 26 Februari ini.

"Bagi saya, semuanya bergantung kepada keputusan saya pada tahun 2017 ini," kata penunggang berusia 25 tahun yang sudah sembilan tahun dibimbing SIC itu.

"Apapun, saya harapkan hanya yang terbaik untuk 2017 ini," tambahnya yang menamatkan musim pertamanya di WSBK tahun lalu dengan mengumpul 56 mata untuk berada di tangga ke-11 keseluruhan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya bersedia menyenaraikan penunggang dari Banting itu dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia sekiranya Zulfahmi mencapai sasaran ditetapkan.

"Kami sudah memberitahunya yang kami tidak boleh memberi tajaan selama-lamanya. Namun sekiranya dapat berada dalam kelompok lima terbaik di WSBK tahun ini, Insya-Allah ada peluang untuk kami meletakkannya dalam kelas Moto2 untuk tahun 2018 nanti.

"Kalau berjaya, kami akan menyenaraikannya dalam sebuah pasukan di Moto2, sebelum memikirkan keputusan yang lebih besar (seperti menubuhkan pasukan baharu Moto2)," kata Razlan.

Berita Harian X