Selasa, 24 Januari 2017 | 1:38pm

AS belanja RM48b perangi Daesh - Pentagon

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) membelanjakan lebih AS$11 bilion (RM48 bilion) untuk memerangi militan Daesh sejak konflik itu tercetus lebih dua setengah tahun lalu.

Angka yang didedahkan Jabatan Pertahanan Negara AS itu menunjukkan 22 peratus daripada kos keseluruhan atau 1.8 bilion pound (RM9.9 bilion) dibelanjakan hanya untuk mengebom Syria dan Iraq.

Menurut Pentagon, pihaknya membayar 3.3 bilion pound (RM18 bilion) hanya untuk memastikan jet pejuang terus berada di ruang angkasa antara Ogos 2014 dan Disember 2016, manakala kapal perang menelan belanja 18 juta pound (RM99 juta).

Sejumlah 67 juta pound (RM371 juta) lagi dibelanjakan untuk membayar kakitangan manakala sokongan misi dan sokongan logistik membabitkan caj gabungan mencecah 4.5 bilion pound (RM25 bilion).

Kos perkhidmatan paling tinggi bagi jabatan pertahanan AS adalah untuk tentera udara dengan 5.3 bilion pound (RM29 bilion), 63 peratus daripada keseluruhan wang yang dibelanjakan.

Ia diikuti tentera darat dengan 1.4 bilion pound (RM7.7 bilion), tentera laut mencecah 950 juta pound (RM5.2 bilion) dan Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat sebanyak 680 juta pound (RM3.7 bilion).

Statistik juga menunjukkan bilangan sasaran yang rosak atau dimusnahkan sejak perang meletus pada 2014.

Hampir 8,000 bangunan dibedil manakala 164 kereta kebal musnah dalam konflik itu.

Serangan udara juga menyasarkan lebih 2,500 infrastruktur minyak dan sejumlah besar kapal tangki.

Menurut statistik berkenaan, lebih 10,907 bom digugurkan di Iraq manakala 6,647 di Syria antara 8 Ogos 2014 dan 16 Januari 2017.

Pentagon berkata, United Kingdom menyertai lapan serangan udara di Iraq dan 11 di Syria. - Agensi

Berita Harian X