Selasa, 24 Januari 2017 | 5:52pm

Kaji semula polisi perbankan - PPIM


KETUA Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan. - Foto Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Polisi perbankan negara inii wajar dikaji semula supaya tidak membebankan pengguna dalam urusan jual beli kenderaan persendirian.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima kira-kira 15 aduan membabitkan penipuan sambung bayar bulanan kenderaan.

Katanya, pengadu mendakwa terpaksa menanggung bebanan hutang berganda selepas gagal mengesan individu sepatutnya menyambung bayaran.

"Tahun lalu, sebanyak 160 aduan kes diterima membabitkan pengguna tidak mampu membayar ansuran bulanan dan ditarik bank, namun penama kenderaan menanggung bebanan tempoh pembiayaan kereta sehingga tamat.

"Justeru, PPIM berharap pengamal polisi perbankan lebih telus berikutan memandangkan tidak ada kaedah berkaitan sambung bayar, malah pengguna boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Sewa Beli," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Nadzim berkata, Bank Negara disaran menyediakan garis panduan berkenaan perkara berkenaan supaya tidak membebankan pembeli, termasuk menyenarai hitam peminjam.

Berita Harian X