Selasa, 24 Januari 2017 | 6:29pm

Jokowi arah persiapan awal hadapi kemarau

PEMANGKU Peguam Negara, Sally Yates. - Foto Reuters

JAKARTA: Presiden Joko `Jokowi' Widodo mengarahkan pihak berkaitan merangka perancangan awal bagi menangani kebakaran tanah dan hutan, susulan kemunculan beberapa kawasan titik panas sejak dua minggu lalu.

Musim kemarau lazimnya bermula akhir Januari.

Jokowi mengingatkan semua pihak berkepentingan yang menghadiri mesyuarat pencegahan kebakaran darat dan hutan di Istana Negara itu bahawa trauma 2015 akan berulang jika kawasan panas gagal dibendung sebelum kebakaran tercetus.

Kebakaran pada 2015 menyebabkan Indonesia kerugian AS$16.5 bilion (RM73 bilion).

"Kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan supaya insiden 2015 tidak berulang," katanya.

Dalam pertemuan itu, Menteri Penyelaras Politik, Perundangan dan Hal Ehwal Keselamatan, Wiranto melaporkan pencapaian bagi membendung kebakaran tanah dan hutan pada 2016.

Bilangan titik panas pada 2016 menurun 82.14 peratus mengikut satelit Pentadbiran Lautan dan Angkasa Nasional (NOAA) dan sehingga 94.58 peratus mengikut satelit Terra dan Aqua.

Wiranto berkata, pada 2015, sejumlah 2.6 juta hektar tanah dan hutan terbakar tetapi angka itu menurun tahun lalu kepada hanya 438,360 hektar, sebahagiannya disebabkan fenomena La Nina yang memanjangkan musim hujan di beberapa kawasan.

"Pada 2015, status kecemasan berlarutan sehingga 151 hari, manakala pada 2016 menurun kepada sifar. Ini adalah satu pencapaian yang sangat baik," kata Wiranto. - Agensi

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X