Rabu, 25 Januari 2017 | 8:15pm

Obama, Beyoncé dan Jay-Z, bertukar putih dalam ilustrasi


LAMAN web WikiHow memohon maaf kerana menyiarkan kartun 'memalukan' menunjukkan bekas Presiden Barack Obama dan pasangan suami isteri popular, Beyonce dan Jay-Z, berkulit putih dalam artikel mengenai cara menjadi ahli Kongres. - Foto www.theguardian.com

CALIFORNIA: Laman web WikiHow memohon maaf kerana menyiarkan kartun 'memalukan' menunjukkan bekas Presiden Barack Obama dan pasangan suami isteri popular, Beyonce dan Jay-Z, berkulit putih dalam artikel mengenai cara menjadi ahli Kongres.

Dianggap 'laman web panduan terkemuka dunia', WikiHow menyiarkan artikel pengajaran diperoleh daripada orang ramai mengenai pelbagai subjek.

Ilustrasi artikel mengandungi tujuh cara 'Bagaimana menjadi ahli Kongres', adalah kartun diambil daripada gambar Obama berbual dengan Beyonce dan Jay-Z, menunjukkan ketiga-tiganya berkulit putih.'

Rakaman membandingkan kartun itu dengan imej asal, diambil selepas majlis mengumpul dana di New York pada 2012, diedarkan akaun Twitter peminat Beyonce Isnin lalu.

Wakil WikiHow memberi reaksi di Twitter, menyifatkan imej itu 'memalukan' dan menyatakan siasatan akan dibuat untuk mengesan asal lakaran itu.

Dalam permohonan maaf dan penjelasan penuh semalam, wakil laman web itu berkata, WikiHow 'merasa jijik dan malu' kerana menyiarkan imej itu, tetapi tidak percaya ia 'diputihkan secara sengaja.'

"Apabila melihat imej Obama, Jay-Z dan Beyonce berkulit putih, kami berasa jijik dan malu. Ia tidak sepatutnya ada di WikiHow," katanya.

Pengasas WikiHow, Jack Herrick, berkata imej itu sudah dibuang, begitu juga artikel, kerana ia ditulis dan diilustrasikan semula.

Menurut kenyataan disiarkan di Twitter, siasatan WikiHow mendapati, imej terbabit dihasilkan Januari 2014 oleh sepasukan pakar ilustrasi.

"Seorang melakar dan seorang lagi meletakkan warna. Pelukis menghantar lakaran hitam putih kepada pihak yang akan mewarnakannya.

"Beliau tidak menyedari keturunan model dan tidak tahu ia adalah Obama dan Beyonce. Kami tidak rasa ia sengaja berbuat demikian," katanya. -Agensi

Berita Harian X