X
Rabu, 25 Januari 2017 | 10:26pm

Pentadbiran Trump kaji semula dana Palestin Obama

gn4id:18618328

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengkaji semula keputusan saat akhir bekas Presiden Barack Obama dan John Kerry untuk menyalurkan AS$221 juta (RM980.91 juta) kepada Palestin akhir minggu lalu berikutan bantahan anggota Kongres Republikan.

Jabatan itu berkata, ia akan meneliti pembayaran dan mungkin membuat pelarasan bagi memastikan ia sejajar dengan keutamaan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Kerry secara rasmi memaklumkan Kongres, kerajaan akan menyalurkan wang sumbangan pagi Jumaat, beberapa jam sebelum Trump mengangkat sumpah.

Kongres pada mulanya meluluskan pembiayaan ke atas Palestin dalam tahun bajet 2015 dan 2016, namun sekurang-kurangnya dua pembuat dasar Republikan, membantah keputusan itu berikutan tindakan Pihak Berkuasa Palestin (PA) menuntut keanggotaan antarabangsa.

Dua anggota Republikan, Ed Royce dari California, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Kongres dan Kay Granger dari Texas, yang menduduki Jawatankuasa Peruntukan Kongres.

Bantahan Kongres biasanya dihormati cawangan eksekutif namun tidak sah selepas dana diperuntukkan.

Granger mengeluarkan satu kenyataan semalam berkata: "Saya amat kecewa kerana Presiden Obama tidak mengendahkan bantahan Kongres dan menyalurkan AS$221 juta kepada jajahan Palestin."

Pentadbiran Obama sekian lama bertegas mahu menyalurkan dana itu, daripada Agensi Pembangunan Antarabangsa AS, digunakan bagi membiayai bantuan kemanusiaan di Tebing Barat dan Gaza, menyokong pembaharuan politik dan keselamatan serta membantu menyediakan urus tadbir lebih baik dan mengikut undang-undang untuk masa depan negara Palestin, menurut makluman dihantar kepada Kongres. -AP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X