Khamis, 26 Januari 2017 | 12:17am

Mandi niat ikut sunah jadi ibadah

gn4id:18605048

SOALAN: ? Saya dimaklumkan bahawa mandi boleh diniatkan menjadi mandi sunat. Apakah benar kenyataan itu.

Terdapat banyak jenis mandi sunat antaranya ialah mandi sunat Jumaat. Ia boleh dilakukan sama ada pada awal pagi (seperti mandi untuk ke pejabat). Cuma afdalnya dilakukan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Selain itu, mandi sunat dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, ketika berlakunya gerhana bulan atau matahari, sebelum solat istisqak (mandi minta hujan), selepas memandikan jenazah dan setelah memeluk agama Islam.

Mandi orang gila setelah sembuh, untuk berihram umrah atau haji, masuk ke Kota Makkah, tawaf mengelilingi Kaabah (haji, umrah atau tawaf sunat), sebelum wukuf di Arafah dan sebelum bermalam di Muzdalifah.

Mandi yang dilakukan setiap hari juga boleh menjadi ibadah atau sunat jika ia diniatkan untuk ibadah serta mengikut sunah Nabi SAW dalam memelihara kebersihan.

Soalan: Saya seorang pegawai perubatan. Akibat tertekan dengan kerja menyebabkan hormon saya tidak stabil menyebabkan haid saya tidak menentu hingga melebihi 15 hari. Adakah darah yang keluar dari tempoh 15 hari itu dikira sebagai darah haid.

Ini antara masalah biasa yang dihadapi oleh kebanyakan wanita berkerjaya hari ini. Berhubung isu ini, ulama mazhab Syafi'e berpendapat tempoh minimum haid wanita ialah satu hari satu malam, manakala tempoh maksimum haid wanita ialah 15 hari.

Tempoh biasa dilalui wanita ialah tujuh hari sahaja. Jika diperhatikan daripada tempoh haid yang puan alami sekarang ini melebihi had tempoh maksimum. Atas asas itu, saya yakin bahawa darah yang keluar selepas hari ke-15 itu adalah darah istihadah.

Darah istihadah adalah darah penyakit yang keluar daripada rahim menerusi kemaluan wanita bukan pada waktu haid dan nifas. Wanita yang mengalami masalah ini diwajibkan mandi pada malam hari ke-15.

Selain itu, mereka juga wajib melaksanakan segala kewajipan seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan sebagainya walaupun darah masih keluar.

Nasihat saya supaya puan cepat-cepat berjumpa doktor yang pakar dalam bidang ini bagi mengelak daripada penyakit lebih serius.

* Penulis ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X