Khamis, 26 Januari 2017 | 5:06pm
PDRM logo[FOTO /BH]

3 anggota polis didakwa edar, miliki dadah

ALOR SETAR: Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membabitkan kesalahan memiliki dan mengedar dadah, minggu lalu.

Mohd Nor Hidayat Mat Din, 26, dan Muhammad Rosde Roslee, 28, masing-masing berdepan dua pertuduhan yang didakwa dilakukan mereka secara bersama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, dekat sini, pada kira-kira jam 10.10 malam, 16 Januari lalu, manakala Wan Suhaimi Wan Sidek, 42, berdepan satu pertuduhan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh sejurus semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Rosde dan Wan Suhaimi didakwa atas dua pertuduhan iaitu secara bersama mengedar dadah jenis Methaphetamine seberat 75,339 gram serta satu lagi membabitkan kesalahan mengedar dadah jenis heroin seberat 74.21 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Wan Suhaimi pula didakwa memiliki dadah jenis ganja seberat 70 gram di sebuah rumah di Felda Sungai Tiang, dekat Pendang, pada jam 8.55 malam 16 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 (Semakan 1980) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan semua tertuduh tidak boleh diikat jamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 6 April depan kes bagi memperoleh laporan kimia.

Berita Harian X