Ahad, 24 Ogos 2014 | 5:47pm
 KAJIAN terkini menunjukkan jumlah sampah dan bahan buangan dalam negara telah pun melebihi jangkaan awal kerajaan. - Foto NSTP
KAJIAN terkini menunjukkan jumlah sampah dan bahan buangan dalam negara telah pun melebihi jangkaan awal kerajaan. - Foto NSTP

Jumlah sisa pepejal negara melebihi jangkaan 30,000 tan sehari pada 2020

JOHOR BAHRU: Kajian terkini menunjukkan jumlah sampah dan bahan buangan dalam negara telah pun melebihi jangkaan awal kerajaan yang menganggarkan sisa pepejal negara mencecah 30,000 tan sehari menjelang 2020.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Zainul Abidin Abdullah berkata jumlah sisa pepejal negara pada ketika ini telah pun mencecah 33,000 tan sehari.

"Beberapa penemuan terkini menunjukkan jumlah sampah serta bahan buangan telah pun mencecah 33,000 tan sehari. Hal ini bermakna jangkaan bahawa jumlah sisa pepejal sebanyak 30,000 tan sehari telah dicapai lebih awal sebelum 2020," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada Program Pengasingan Di Sumber dan Pengkomposan Bersama PPSPPA Negeri Johor bersama Persatuan Keluarga Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Johor di sini.

Menurut Zainul Abidin, kesedaran mengenai amalan 3R (Mengurang, Mengguna Semula dan Mengitar Semula) perlu dipergiatkan semula berikutan peningkatan jumlah sisa pepejal negara.

Amalan 3R itu adalah pendekatan bagi memastikan semua sisa pepejal tidak berakhir di tapak-tapak pelupusan dan peratusan kadar kitar semula negara dapat ditingkatkan kepada 22 peratus, katanya.

Pada ketika ini, peratusan kadar kitar semula negara berada pada tahap lima peratus.

Beliau berkata, tapak-tapak pelupusan sampah sedia ada di negara ini telah pun mencapai tahap maksimum dan langkah-langkah sedang diambil untuk melupuskan sisa menggunakan teknologi terkini, katanya.

"Penghasilan sampah merupakan kesan langsung daripada peningkatan populasi penduduk, aktiviti ekonomi dan pembangunan yang pesat dan untuk mengurangkannya, aktiviti 3R perlu diterapkan serta dijadikan budaya," katanya.

Zainul Abidin berkata, jumlah sisa pepejal di Johor ketika ini telah mencecah 3,600 tan sehari.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X